Pemuda IM santuni warga Dun Semambu

Berita
Typography
INDERA MAHKOTA: Dewan Pemuda PAS Kawasan Indera Mahkota telah menganjurkan program Ramah Mesra Anak Muda Indera Mahkota 5.0 di Dun Semambu, di sini semalam.
 
Program tersebut sebagai mengorak langkah persiapan padu Jentera Pilihan Raya Pemuda PAS Dun tersebut menjelang PRU14 yang bakal tiba bila-bila masa.
 
Antara dilaksanakan pada program tersebut adalah ziarah rumah ke rumah dan sumbangan kebajikan kepada kalangan keluarga asnaf yang dikendalikan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan.
 
"Sumbangan seperti ini diharap dapat membantu meringankan beban mereka yang terhimpit dan diuji. Jika diberi kepercayaan menerajui negeri Pahang, PAS melalui manifesto kami berjanji memberi bantuan seumpama secara bulanan kepada yang layak," ujar Timbalan Pengarah PAS Dun Semambu, Yusof Hashim.
 
Program tersebut turut disusuli Sambutan Ulang Tahun Ke-20 PASTI Cenderawasih yang dilangsungkan di Masjid Saidina Umar al-Khattab, dirasmi Ketua Pemuda PAS Indera Mahkota, Ustaz Mohd Zaki Ibrahim.
 
Turut diadakan ialah perlawanan persahabatan bola sepak antara Pemuda PAS Indera Mahkota dan penduduk setempat yang dimenangi tuan rumah dengan 2 gol berbalas 1.
 
Manakala pada malamnya, diisi dengan kuliah Maghrib oleh Ustaz Mohd Zaki di Surau Al-Ikhwan Taman LKNP, seterusnya Dialog Anak Muda menampilkan Yusof sebagai panelis dan Exco Pemuda PAS Malaysia, Dr Muhammad Ibrahim. - HARAKAHDAILY 11/2/2018