Masyarakat Cina masih terbuka dengan PAS

Berita
Typography

TITIWANGSA: Dewan Muslimat PAS Kawasan Titiwangsa telah mengadakan program menziarahi kaum Cina yang dilangsungkan dengan jayanya di Jalan Pria 1 dan 2, di sini semalam.

Program ziarah kali ini sebagai menyantuni warga Tionghua yang akan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina pada hujung minggu ini nanti.

Rombongan turut membawa bungkusan mengandungi limau, bahulu serta risalah yang telah diedarkan kepada masyarakat Tionghua ketika ziarah tersebut.

Ketua Penerangan PAS Titiwangsa, Ustaz Raihan Abdul Aziz menyatakan, kesediaan PAS menjadi kerajaan adalah tanpa mengenepikan hak orang bukan Islam

"Bila Islam memerintah, semua kaum akan selamat. Melayu, Cina, India malah warga peribumi semua akan dapat hak masing-masing.

"Islam tak mengamalkan rasuah, apalagi mengambil cukai daripada rakyat yang tidak berkemampuan.

"Kami PAS yakin negara kita akan lebih maju dan aman tanpa perlu ada GST," ujarnya tiap kali bersua muka dengan kaum Cina dalam program berkenaan.

Ustaz Raihan turut menerangkan serba sedikit berkenaan model negara sejahtera yang telah diperkenalkan PAS iaitu Dokumen Hijau, BPMS dan WINS.

Secara umum, masyarakat Cina menyambut baik kehadiran petugas-petugas PAS di kediaman mereka selain turut berkongsi tekanan ekonomi yang kian membelenggu kehidupan.

Kalangan mereka juga turut meluahkan hasrat mahukan pemimpin yang lebih baik untuk mentadbir Malaysia selepas PRU 14 kelak. - HARAKAHDAILY 11/2/2018