Jambatan Pusa jambatan rakyat

Berita
Typography

PAS SARAWAK mengalu-alukan pembukaan Jambatan Pusa yang menyambungkan Pekan Pusa dan Kampung Pusa pada hujung tahun lepas. Ia disambut dengan perasaan gembira oleh masyarakat di kawasan tersebut. Jambatan yang diberi nama Jambatan Tandang Sari mengambil nama sempena lagenda tempatan Dayang Isah Dayang Sari.

Projek yang bernilai RM48 juta seperti dilaporkan dalam laman web Kementerian Kerja Raya Malaysia telah dimulakan pembinaan pada Jun 2013. Pembinaan yang mengambil masa lebih 4 tahun ini akhirnya siap dan dirasmikan pada 11 Disember 2017 oleh YAB Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

Dengan siapnya jambatan rakyat ini, PAS Sarawak melihat dua isu yang perlu diberikan perhatian oleh pihak berkuasa iaitu perkhidmatan pengurusan sampah di Kampung Seberang Pusa dan nasib yang ditanggung oleh para pengusaha tua bot tambang.

Isu sampah ini telah lama ditanggung oleh masyarakat Kampung Pusa. Sungai yang tercemar dengan sampah sisa makanan selama ini mengundang kehadiran buaya. Mereka mengharapkan isu pengurusan sampah di Kampung Pusa dapat diperbaiki secepat mungkin.

Temuramah bersama masyarakat Pusa, rata-rata mahukan tong sampah dan pengurusan sampah yang sistematik berserta perkhidmatan lori kutipan sampah daripada pihak berkuasa.

Nasib para pengusaha tua bot tambang yang selama ini bergantung dengan pendapatan membawa bot penumpang dari Jeti Pasar Pusa ke Kampung Pusa juga menjadi persoalan. Mereka perlu diberi perhatian selepas khidmat mereka diambil alih oleh perkhidmatan van penumpang.

Jambatan Pusa Jambatan Rakyat, justeru pembinaan jambatan ini diharapkan dapat membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat Pusa kepada yang lebih baik.-HARAKAHDAILY 12/2/2018