Muslimat Batang Lupar bantu mangsa banjir Sebuyau

Berita
Typography

BATANG LUPAR: Dewan Muslimat PAS Kawasan Batang Lupar telah menggerakkan konvoi bantuan bagi membantu mangsa banjir di sekitar Sebuyau selama dua hari bermula semalam.

Konvoi melibatkan enam kenderaan termasuk pacuan empat roda itu akan ke kawasan terjejas banjir khususnya Kampung Seruyuk dan Kampung Seberang Sebuyau di mana sekitar 100 keluarga menjadi mangsa.

Berikutan pencarian sumber rezeki mereka yang terjejas, termasuk rutin kehidupan harian dan pekerjaan, maka inisiatif agihan sumbangan keperluan asas berupa makanan, minuman dan pakaian amat mendesak pada ketika ini.

Sehubungan itu, konvoi digerakkan Muslimat PAS Batang Lupar tersebut sememangnya menjadi misi kemanusiaan penting sebagai membantu kesusahan dialami penduduk akibat ujian banjir yang melanda.

Jentera yang berpadu tenaga itu turut membanting keringat bergotong-royong membersihkan Masjid Seruyuk yang terlibat sebagai pusat pemindahan mangsa banjir sebelum ini.-HARAKAHDAILY 12/2/2018