Sik lancar sekampit beras untuk guru PASTI

Berita
Typography

SIK: Guru PASTI merupakan antara petugas yang sangat hebat dalam membantu perjuangan Islam di Malaysia ini, demikian menurut kata Yang DiPertua Pas Kawasan Sik, Muhammad Sanusi Md Nor.

Katanya, pengorbanan guru Pasti sangat besar dalam melahirkan lebih ramai pejuang Islam untuk mengemudi gerakan Islam PAS mentadbir negara mengikut acuan Islam yang sebenar.

"Mereka guru PASTI sanggup mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit dalam mendidik anak-anak PASTI walaupun dibayar elaun yang sedikit. Bahkan ada yang secara sukarela mendidik tanpa menuntut apa-apa bayaran," ujarnya.

Beliau berucap demikian dalam majlis pelancaran Sekampit Beras Untuk Guru anjuran Jabatan PASTI Sik di Pondok Tahfiz Raudhatul Jannah, Beris Jaya, dekat sini kelmarin.

Program tersebut bertujuan untuk membantu meringankan beban guru PASTI dengan menyumbangkan sekampit beras kepada mereka.

Beliau juga menambah guru PASTI bukan sahaja berperanan mendidik, malah merupakan petugas parti yang sangat penting dalam pilihan raya.

Beliau juga memuji kesabaran para guru PASTI dalam membahagi masa antara tugas guru dan amilin yang sewajar dicontohi oleh petugas-petugas PAS lainnya.

Turut hadir dalam program tersebut adalah Tuan Guru Wahab Hassan atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Awang Lanai sebagai tetamu jemputan khas.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lebih lanjut mengenai kempen tersebut bolehlah menghubungi Pengerusi Jabatan PASTI Sik, Mad Azli Yahya di talian 010 5329665 atau 010 7769665.-HARAKAHDAILY 12/2/2018