Pulut kuning hidangan unik Tahun Baharu Cina

Berita
Typography

PAYA BESAR: PAS Kawasan Paya Besar menzahirkan hubungan muhibahnya dengan kaum Tionghua setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina dengan menyediakan pulut kuning.

Keharmonian itu terjalin atas rasa hormat dan saling merai di mana kesukaan orang Cina memakan pulut kuning disediakan oleh orang Melayu yang mahir dengan masakan tradisi itu.

Penyediaan pulut kuning ternyata satu keunikan disebalik perayaan yang sinonim dengan warna merah dan keemasan dari hiasan tanglung, buah oren dan angpow serta bunyian mercun itu.

Yang DiPertua PAS Paya Besar, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya sendiri meluangkan masa menyampaikan bungkusan pulut kuning bersama ayam masak rendang kepada penduduk Cina di Taman Tas, di sini semalam.

"Setiap tahun kami akan melakukan perkara yang sama untuk perayaan Tahun Baharu Cina di sini untuk sama-sama merayai. Dan kenapa pulut kuning dan bukannya buah limau seperti biasa?

"Kerana orang Cina amat suka pulut kuning yang dibuat oleh orang Melayu dan inilah tandanya kita berada dalam masyarakat yang majmuk dan saling memahami antara satu sama lain," ujarnya.

Pulut kuning tersebut disediakan oleh ahli PAS Taman Tas, manakala rendang ayam oleh ahli PAS Kampung Panching, selain kad ucapan Tahun Baharu Cina juga diberikan.

Menurut Ustaz Tarmizi, pemberian tersebut sememangnya terhad, namun pihaknya cuba untuk meningkatkan penyediaan hidangan khas tersebut agar dapat dirasai oleh semua kaum Cina di situ.-HARAKAHDAILY 12/2/2018