Syarikat minat zon ‘Auto City’ di Tunjung

Berita
Typography

KOTA BHARU: Bandar Baru Tunjung bukan sekadar dibangunkan projek rumah kedai dan pusat membeli belah, sebaliknya turut dilengkapi zon ‘Auto City’.

Antara syarikat automobil yang sudah beroperasi di ‘Auto City iaitu Honda Ban Chu Bee Sdn Bhd yang dilengkapi ruang pameran dan bengkel dengan mendapat sambutan menggalakkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, semua lot di zon berkenaan sudah dibeli syarikat.

Katanya juga infrastruktur di kawasan itu dilaksanakan PMBK Development Sdn Bhd.

“Begitu juga jalan di kawasan zon tersebut sudah disiapkan. Lot-lot telah dibeli pelabur dalam industri automobil,” katanya di sini.

Zon ‘Auto City’ terletak di laluan Kota Baru ke Pasir Mas, di mana kawasan berdekatan juga sedang giat dibangunkan pejabat Yayasan Islam Kelantan, pencawang milik Tenaga Nasional Bhd dan pejabat-pejabat kerajaan.

Abdul Fattah juga berkata, Bandar Baru Tunjung sekarang semakin rancak pembangunannya.

Menurutnya di Bandar Baru Tunjung terdapat Giants biarpun di negeri lain pusat membeli belah itu dilapor menghentikan operasi.

“Ini menggambarkan keyakinan pelabur begitu tinggi sekali kepada Kelantan. Kerajaan negeri mudah memberi kerjasama dengan mengamalkan sikap mesra pelabur,” katanya.-HARAKAHDAILAY 13/2/2018