PAS usaha jaga keharmonian kaum

Berita
Typography

DUNGUN: PAS sentiasa menjaga hubungan perpaduan dengan masyarakat bukan Islam terutama kaum Tionghua dalam usaha menyampaikan mesej Islam.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Kawasan Dungun, Serena Lim Abdullah berkata, PAS juga ingin berkongsi kegembiraan dengan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira agama anutan mereka.

Menurutnya, sambutan Tahun Baharu Cina merupakan kebudayaan warisan masyarakat tersebut.

"Macam-macam aktiviti diadakan untuk memastikan hubungan yang sekian lama terjalin menjadi semakin akrab antara kita," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program agihan limau sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sekitar bandar Dungun, kelmarin.

Menurut Naib Ketua Muslimat PAS Dungun itu lagi, selain mengagihkan limau di musim perayaan, lajnahnya juga turut meraikan pelajar Tionghua yang mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2017.

"Ini (sumbangan) untuk kita (PAS) memberi suntikan semangat kepada mereka (pelajar) supaya terus maju jaya dalam apa saja bidang diceburi kelak," ujarnya.

Serena yang juga berketurunan Cina itu berkata, setiap aktiviti akan disertai oleh Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS.-HARAKAHDAILY 14/2/2018