PAS Sungai Rambai yakin menang PRU14

Berita
Typography

JASIN: Jabatan Pilihan Raya Dun PAS Sungai Rambai berkeyakinan mampu untuk menawan Dun berkenaan pada PRU-14 nanti, demikian menurut Penyelia Dun Sungai Rambai, Zakaria Kasnin.

"Dengan senario dilihat kini banyak berpihak kepada PAS, selain kaedah yang betul dan tepat menerusi perancangan terbaik dan aktiviti-aktiviti mantap lagi tersusun, saya yakin ini mampu menarik minat pengundi untuk memilih PAS.

"PAS sebagai parti politik merupakan pilihan terbaik apatah lagi kini membudayakan politik matang dan sejahtera (BPMS)," katanya di Program Turun Padang sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina kelmarin.

Katanya, dengan slogan "Sejahtera Malaysia" dan pengeluaran beberapa dokumen berkaitan PAS Sungai Rambai yakin masyarakat di Dun berkenaan kini lebih terbuka dan bersedia menerima PAS.

Jelas beliau, PAS kini telah dilihat sebagai parti yang bakal menggantikan BN dalam memperjuangkan isu-isu setempat.

Hal tersebut ujarnya lagi, dapat dibuktikan apabila masyarakat bukan Islam terutamanya Cina sangat memberi kerjasama dan meraikan beberapa program yang telah dianjurkan sebelum ini.

"Ini menunjukkan satu perkembangan yang sangat positif bagi masa depan PAS Sungai Rambai.

"Saya berharap situasi yang baik ini akan berterusan sehingga hari mengundi berlangsung dan mampu membantu memberi kemenangan kepada PAS," yakininya.-HARAKAHDAILY 14/2/2018