PAS tunjukkan kesediaan menangi Guar Chempedak

Berita
Typography
JERAI: Majlis Tindakan Dun (MTD) Guar Chempedak telah mengadakan Himpunan Jentera Pilihan Raya yang dilangsungkan di Dataran MDY, Guar Chempedak, di sini semalam.
 
Himpunan itu sekali gus merasmikan Markas Operasi MTD Guar Chempedak yang disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Ustaz Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi.
 
Kesediaan PAS untuk memenangi Dun tersebut dizahirkan dengan kemeriahan penyertaan ramai pada himpunan itu terutama melibatkan kalangan anak muda yang bersemangat.
 
Mereka telah mengadakan konvoi motosikal dengan seliaan ARC Jerai dari Simpang 3 Singkir melalui 'checkpoint' Kampung Ruat, Pekan Yan Besar, Pekan Yan Kechil, Kampung Titi Serong dan Teroi sebelum berakhir di tapak program.
 
Dr Fakhruddin dalam taujihatnya meniupkan semangat jentera supaya beriltizam untuk bekerja dengan semangat jamaah dan melipatgandakan gerak kerja untuk memenangi undi setiap UPU.
 
Kesiapsiagaan para anggota jentera berikrar menyahut seruan Dr Fakhruddin pula bagaikan diikat kemas dengan penerimaan bendera PAS pada simbolik penyerahan tugas kepada semua wakil UPU.
 
Hadir sama dan turut memberi ucapan rangsangan adalah Yang DiPertua PAS Jerai, Ustaz Musoddak Ahmad dan Timbalannya, Ustaz Mohd Azam Abd Samat serta para pimpinan PAS Jerai. -HARAKAHDAILY 24/2/2018