Jentera PAS penuhi tanggungjawab seluruh urusan manusia

Berita
Typography
JERAI: Agenda dan pergerakan PAS meluas meliputi semua aspek kehidupan manusia dan tidak terhad kepada politik dengan dukungan ahli daripada pelbagai latarbelakang dan kepakaran.
 
Sehubungan itu, PAS mengendalikan setiap urusan kehidupan dan tidak bermusim semasa pilihan raya di mana semua itu ditunaikan kerana tanggungjawab khalifah tuntutan Allah S.W.T.
 
Demikian dinyatakan Yang DiPertua PAS Kawasan Jerai, Ustaz Musoddak Ahmad pada Himpunan Jentera Pilihan Raya dan perasmian Markas Operasi MTD Guar Chempedak di Dataran MDY Guar Chempedak, di sini semalam.
 
Katanya, hanya PAS satu-satunya parti yang menggerakkan kebajikan, pendidikan, ekonomi dan pelbagai bidang lain menggunakan instrumen siyasah dan dakwah disamping kesepaduan ahlinya.
 
Bermakna jelasnya, PAS juga mempunyai kerja yang banyak di mana semua itu mengarah kepada tekad meletakkan Islam di kedudukan tertinggi iaitu memerintah dan menegakkan kalimah Allah S.W.T.
 
Oleh itu terangnya, peranan dan kesungguhan setiap ahli menyumbang di posisi masing-masing adalah kebaikan dan kebajikan untuk manusia yang pasti mendapat ganjaran pahala di sisi Allah.
 
Ustaz Musoddak juga menyentuh usaha setiap ahli PAS untuk memperbetulkan kefahaman dan kecelaruan masyarakat yang dilanda cabaran oleh tafsiran salah bukan sahaja terhadap politik, tetapi juga agama Islam itu sendiri.
 
Kerana itulah ujarnya, antara tentangan mesti dihadapi dalam menyampaikan mesej Islam itu adalah pihak yang mempengaruhi umat dengan agenda songsang seperti Islam Liberal dan seumpamanya.
 
Tegasnya juga, PAS adalah parti yang menerima semua tanpa mengesampingkan atau bias kepada mana-mana perbezaan agama, budaya atau kaum sebagaimana turut meraikan kaum Tionghua menyambut Tahun Baharu Cina.
 
Menyentuh mengenai PRU14, PAS katanya, akan menghadapi BN dan PH kerana tegas mempertahankan dasar Islam di mana kesungguhan itu bukan kerana duniawi, tetapi atas tuntutan ditaklifkan Allah.
 
Beliau juga berpesan kepada jentera agar berakhlak dan menjaga batas ditetapkan agama dalam gerak kerja, sebagai contoh tidak membalas fitnah dibuat musuh dengan mengadakan fitnah juga. -HARAKAHDAILY 24/2/2018