Satu lagi bangunan terbiar!

Berita
Typography

DUNGUN: Satu projek yang gah dan tersegam indah, dipercayai untuk dijadikan asrama pelajar kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teja Putra, hampir 10 tahun masih lagi kosong dan terbiar begitu sahaja.

Pegawai Seranta Felda PAS Terengganu, Naraza Muda berkata, persoalan yang timbul dalam kalangan masyarakat ialah agensi yang membiayai projek pembinaan asrama tersebut.

Beliau mahu Kerajaan Umno-BN atau agensi berkaitan yang menguruskan kelulusan binaan bangunan tersebut tampil memberi jawapan mengenai status bangunan terbiar itu.

“Apakah Kerajaan Pusat ataupun Ketengah ataupun Felda? Ketiga-tiga (pihak) ini sewajarnya memberi satu jawapan (kepada) tanda tanya rakyat negeri Terengganu khasnya penduduk Ketengah Jaya ini," tegasnya.

Menurut Naraza, rakyat tidak mahu mendengar berita sebagaimana berlaku ke atas Sekolah Menengah Alor Limbat yang dirobohkan, baru- baru ini yang melibatkan RM18.5 juta, kerana tidak selamat digunakan.

Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan ke kawasan bangunan terbabit yang terletak di belakang SMK Teja Putra, Ketengah Jaya baru-baru ini.

Sehubungan itu, Naraza menggesa pihak bertanggungjawab agar memeriksa bangunan tersebut yang dilaporkan telah dibina sekitar tahun 2008 atau 2009.

“Jadi sebab itulah kami turun kami minta sangat-sangatlah Menteri Besar dengan slogannya "Terengganu Molek Doh". Apakah membiarkan duit rakyat sebanyak jutaan ringgit ini perkara yang betul, perkara yang molek? Itulah soalan yang kita bangkitkan.

”Dan sewajarnya kalau bangunan ini masih selamat pihak berwajib Kementerian Pendidikan contohnya (atau) kerajaan negeri contohnya (atau) Felda contohnya boleh duduk sekali memikirkan bagaimana untuk mengambil manfaat dengan bangunan yang ada,” jelasnya lagi.

Beliau mencadangkan, sekiranya bangunan tersebut masih selamat dan boleh digunakan, kerajaan boleh mengambil pelajar-pelajar terpilih untuk mendudukinya.

Kata beliau, ia bagi mengelakkan bangunan itu menjadi satu lagi projek ‘gajah putih’ sebagaimana yang berlaku kepada Taman Ilmu di Besut.

“Kami tidak mahu siri-siri pembaziran ini berterusan khasnya di negeri Terengganu (kerana) penduduk tempatan sendiri terkejut (dan) mereka sendiri tak tahu adanya terbina bangunan ini,” tambah beliau.

Siapa bina?

Generasi Kedua Felda, Wan Aziz Wan Long, 52, berkata, beliau baru mengetahui wujudnya bangunan itu dan tidak tahun siapakah yang membinanya.

”Setakat ini, baru saya tahu bahawanya ada satu bangunan yang dibuat oleh kerajaan tak tahu siapa yang buat. Setakat hari ini saya datang tengok tersegam indah.

“Saya bimbang bangunan ini tiada penghuni dan dijadikan satu sarang (gejala sosial) pemuda-pemuda yang tidak bertanggungjawab,” kata beliau.

Generasi kedua Felda berkenaan, Abdul Karim Mohamad pula memaklumkan, beliau juga tidak pernah tahu bangunan itu wujud sehinggalah dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Ustaz Satiful Bahri Mamat.

”Saya sebenarnya selaku pemuda sini orang tempatan ni kita pun tak pernah tahu wujudnya asrama ini dan saya dapat tahu bila Ustaz Satiful pernah ‘up’kan (ketengahkan) isu ini dalam Facebook beliau dan saya dapat info dalam sidang DUN pun, dia pernah bangkitkan isu ini.

"Jadi bila tahu akan wujudnya bangunan ini kita orang pun marilah selidik, dan bagi saya sayanglah bangunan begini dengan bajet tingginya tapi tiada penghuni," kesalinya. -HARAKAHDAILY 8/3/2018