Maahad Tahfiz di Parlimen Cameron Highland

Berita
Typography

CAMERON HIGHLANDS: PAS Cameron Highlands membangunkan Maahad Tahfiz Ad-Diniah Hidayah bagi meningkatkan program tarbiah dalam kalangan generasi muda.

Pengarahnya, Wan Mahathir Wan Mahmud berkata, Maahad Tahfiz tersebut merupakan yang pertama dibina di kawasan Parlimen Cameron Highlands.

"Ia merupakan satu cabaran besar kepada kami dan ia juga satu usaha untuk merealisasikan cadangan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hasan yang mahu melahirkan 'Satu Keluarga Seorang Hafiz'.

"Kewujudan Maahad Tahfiz di sini dapat membantu penduduk bagi mendalami ilmu agama," katanya pada perasmian pecah tanah dan solat hajat pembinaan Maahad Ad-Diniah Hidayah (MADAH) baru-baru ini.

Perasmiannya disempurnakan Timbalan Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.

Wan Mahathir juga berkata, Parlimen Cameron Highlands amat wajar mempunyai Maahad Tahfiz yang akan menjadi kekuatan syiar Islam di kawasan tersebut.

Maahad tersebut terletak berhampiran Kompleks Pentadbiran PAS Cameron Highands, Darul Hidayah di Felda Sungai Koyan satu.

Cameron Highlands mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Jelai dan Tanah Rata. Dun Tanah Rata diwakili DAP, Jelai (BN) dan Parlimen pula diwakili MIC. - HARAKAHDAILY 8/3/2018