PAS K. Kedah bantu Jerai hadapi kejadian ribut

Berita
Typography

JERAI: PAS Kawasan Kuala Kedah menunaikan tanggungjawab 'kejiranan' apabila segera menghulur bantuan kepada PAS Kawasan Jerai yang berhadapan penduduknya diuji kejadian ribut petang semalam.

Sehubungan itu, bantuan awal berupa beras dan ikan segar telah diberikan dalam memenuhi keperluan Dapur Rakyat yang diwujudkan bagi membantu mangsa di mana 52 rumah direkodkan mengalami kerosakan teruk terutama di Bukit Besar dan Gelam dalam Dun Sungai Limau.

Sumbangan awal itu disampaikan Setiausaha PAS Kuala Kedah, Rashidi Abd Razak; Ahli Jawatankuasa PAS Kuala Kedah, Mohd Jamil Baharom dan Setiusaha Dun Pengkalan Kundur, Fazil Ramli, serta Ahli Jawatankuasa Dun Pengkalan Kundur, Mohd Fisol Harun.

Menurut Rashidi, dari maklumat terkini difahamkannya, ribut tersebut telah menyebabkan kerosakan besar struktur rumah penduduk pada skala lebih 50 peratus dan penyediaan makanan tersebut dalam usaha meringankan beban mangsa.

Katanya, pelancaran tabung khas untuk membantu mangsa juga digerakkan PAS Kuala Kedah bagi membantu PAS Jerai menangani situasi kecemasan tersebut dan akan menghulurkan sumbangan susulan selepas ini.

Sementara itu, PAS Jerai membuka sumbangan orang awam ke akaun Bank Islam 02084010001166 atas nama PAS Kawasan Jerai dan sebarang pertanyaan hubungi 019-310 4609 (Aziz) atau 019-571 1920 (Ustaz Muaz).-HARAKAHDAILY 8/3/2018