Solusi sejahtera: Kos sara hidup

Berita
Typography

TERLEBIH dulu saya mengucapkan selamat menghadapi pilihan raya dan mengambil peluang untuk melakukan perubahan dalam negara kita. Khusus bagi menangani isu-isu yang melanda rakyat dan menjadi bebanan kepada mereka.

Di antaranya ialah isu kos sara hidup. Berlakunya tidak keseimbangan di antara pendapatan dan perbelanjaan. Sebenarnya bagi umat Islam, menjadi satu hikmat yang besar apabila mereka mengulangi tiap-tiap rakaat sembahyang:

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

“Segala puji bagi Allah, tuhan semesta alam.”

(al-Fatihah: 2)

Tuhan yang bukan sahaja mencipta alam termasuk makhluk manusia, dalam masa yang sama mengurus kehidupan mereka yang berkait dengan rezeki.

Sebenarnya Allah S.W.T menyediakan rezeki yang cukup kepada manusia, bermula daripada rezeki roh dan jasad mereka. Diberi kepada mereka akal fikiran yang wajib diisi dengan panduan agama supaya berakhlak dengan akhlak yang mulia. Bertimbang rasa di antara satu sama lain. Diisi dengan ilmu dan akhlak. Termasuk rezeki kehidupan mereka yang berkait dengan makanan, kediaman, kemudahan untuk bergerak ke sana ke mari dengan sumber-sumber rezeki yang cukup di atas muka bumi.

Sekiranya manusia dapat menyempurnakan petunjuk Allah dengan cara yang sebaik-baiknya, rezeki yang cukup itu tidak menjadi masalah kepada mereka. Apa yang berlaku menimbulkan masalah, menandakan kesilapan manusia sendiri yang perlu dibetulkan. Dalam satu Hadis Nabi S.A.W bersabda:

رحم الله رجلاً سمحًا، إذا باع، وإذا اشترى، وإذا اقتضى

“Allah memberi rahmat kepada seseorang hamba yang bersifat rahmat, berkasihan belas apabila dia membeli dan menjual serta mengendalikan urusan kehidupan mereka.”

Manusia menghilangkan sifat rahmat dan timbang rasa sehingga berlakunya tidak seimbang dalam kehidupan mereka. Mereka yang kaya menambahkan kekayaan dengan apa sahaja tanpa mengira halal dan haram, betul dan salah.

Tidak ada simpati kepada mereka yang tidak bernasib baik sama ada dari segi kelemahan tenaganya, ataupun pendapatannya. Islam tidak menghalang manusia mencari harta sebanyak-banyaknya. Tetapi mestilah dengan cara yang halal dan mengagih dengan cara yang adil dan baik.

Manusia hanya mengenal dua teori sahaja dalam aspek ekonomi. Teori yang kanan yang disebut dengan Liberal Kapitalisma. Dan teori yang kiri yang disebut dengan Sosialisma dan Komunisma.

Walaupun kedua-dua teori ini mengaku untuk membahagikan sumber yang adil kepada manusia semuanya. Tetapi ternyata menemui kegagalan dan jalan buntu. Kita menyaksikan kegagalan Komunisma yang hancur di abad yang lalu. Kita sedang menyaksikan masalah yang dialami oleh Liberal Kapitalisma di negara yang paling kaya, rakyatnya masih menderita.

Oleh kerana itu sudah tiba masanya bagi umat Islam memperkenalkan ajaran Islam kepada seluruh manusia dalam mengagih kekayaan ekonomi supaya kerajaan mengurus sumber yang ada dengan cara yang baik. Tidak berlaku kebocoran. Tidak dimusnahkan dengan rasuah, salah laku dan seumpamanya.

Insyaa Allah sumber kekayaan yang ada dalam negara kita dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat. Tidak berkisar di kalangan orang-orang yang tertentu sahaja. Kita menyaksikan hari ini bagaimana petani, nelayan menghadapi orang tengah yang membeli dengan harga yang murah, dan menjual dengan harga yang mahal.

Kita menyaksikan bagaimana pemerintah yang menghadapi masalah ekonomi, tak ada cara lain melainkan dengan menambahkan cukai dan mengenakan berbagai cukai kepada rakyat. Ini semua memberi kesan berlakunya inflasi. Berlakunya tidak seimbang di antara pendapatan dengan sara hidup. Berlakunya tindas menindas di antara satu sama lain.

Islam menganjurkan supaya kekayaan tidak berpusing di kalangan orang yang tertentu sahaja, mestilah diagih oleh mereka yang berada dengan cara yang wajib dinamakan zakat. Dan cukai yang menjadi tanggungjawab mereka. Dan tidak diwajibkan terhadap mereka yang miskin, mereka yang pendapatannya tidak bernasib baik.

Apa yang berlaku pada hari ini penuh dengan kecelaruan. Menghilangkan rasa rahmat di antara satu sama lain. Yang menjual mahu untung semata-mata tanpa mengira pembeli. Yang membeli mahu membeli semurah-murahnya walaupun merugikan mereka yang menjual. Akhlak yang tidak baik ini hendaklah dibaiki dengan petunjuk daripada Allah S.W.T.

Tidak cukup bagi kita memperkenalkan Islam secara teori sahaja, secara pemikiran. Banyak ajaran yang ada dalam Islam yang berkait dengan kehidupan ini disaksikan dengan cara praktikal. Maka dapat dilihat kebaikan dan keberkatannya. Allah Taala berfirman:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ

“Kalau sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, nescaya dibuka untuk mereka keberkatan yang turun dari langit dan keluar daripada bumi.”

(al-A’raf: 96)

Tetapi kebanyakan manusia tidak percaya dengan keberkatan. Satu perkataan yang ada dalam ekonomi Islam, yang tak ada dalam teori ciptaan manusia.

PAS memperkenalkan beberapa aspek Islam dalam manifesto dan janji yang dikemukakan kepada rakyat. Insyaa Allah dengan bukti yang kita tunjukkan sedikit kemenangan di Kelantan, pernah di Terengganu, pernah memerintah Kedah. Dapat dilihat oleh rakyat dengan insaf dan sedar supaya memberi peluang kepada Islam untuk memerintah dan mentadbir. Termasuk dalam mengendalikan urusan kehidupan rakyat yang berkait dengan sara hidup mereka.

Saya yakin dan percaya, sekiranya diberi kepercayaan kepada Parti Islam Se-Malaysia PAS untuk memperkenalkan Islam ini, maka masalah akan dapat diselesaikan dengan cara yang sebaik-baiknya.

(Teks transkrip dari Ucapan Presiden PAS di Live Facebook Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebentar tadi yang disediakan oleh Pelatih Harakah, ZAID MD ADHARHARAKAHDAILY 8/3/2018