Operasi PASTI terbakar akan segera dipulihkan

Berita
Typography
PUTATAN: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah akan menumpukan proses pemulihan semula operasi serta kebajikan guru dan pelajar yang terjejas disebabkan oleh kebakaran premis PASTI Ar-Raihan, Petagas, di sini.
 
Sekitar 80 peratus bangunan prasekolah tersebut termasuk peralatan-peralatan berkaitan musnah dan puncanya masih dalam siasatan pihak berkuasa dalam kejadian lewat malam 7 Mac lalu itu.
 
Ketua Pemuda PAS Sabah, Zulzaim Hilmee Abidin menyatakan komitmennya untuk memastikan proses pembelajaran dan pengajaran dapat segera diadakan, selain memastikan semua premis PASTI seluruh negeri itu sentiasa dalam keadaan selamat.
 
"Kita berharap insiden seumpama tidak berulang dan kita rakamkan penghargaan khusus buat Jabatan Bomba dan Penyelamat serta masyarakat setempat atas bantuan," ujarnya ketika melawat bersama anggota Jabatan Amal Malaysia Kawasan Putatan, di sini kelmarin.
 
Dalam perkembangan lain, pihak berwajib antaranya Jabatan Bomba, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat turut melawat meninjau perkembangan terkini insiden tersebut.
 
Sebarang sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Bank Islam 1001601005958 atas nama PASTI Kawasan Putatan dan sebarang pertanyaan boleh hubungi 013-803 8545 (Ustaz Muhasibi - Bendahari PASTI). -HARAKAHDAILY 10/3/2018