PAS pada kedudukan kukuh menangi Dun Guchil

Berita
Typography
KUALA  KRAI: PAS Kawasan Kuala Krai bersiap untuk mengekalkan kemenangan Dun Guchil yang sebelum ini dipinjamkan kepada PKR selama beberapa penggal atas semangat setia kawan.
 
Penyelia PAS Guchil, Mohd Hilmi Abdullah berkata, pihaknya mensasarkan peningkatan kemenangan kepada majoriti 1,500 undi dan menanam azam meneruskan kerja kuat yang pernah dibuktikan selama ini.
 
"Kalau tengok kepada kita buat program Tahun Baharu Cina, kehadiran amat membanggakan 1,500 orang. Tak pernah kita buat program, masyarakat Cina keluar beramai-ramai bersama kita.
 
"Menunjukkan mereka bersama kita, merai kita dan sanggup memperjuang, mempertahan kerajaan sedia ada," ujarnya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Kuala Krai pada ceramah di Kampung Tualang, Guchil, di sini semalam.
 
Demikian itu, beliau mengingatkan para petugas PAS untuk terus mengikuti strategi parti dengan mentaati pimpinan yang diketua Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
 
Jelasnya, Tuan Guru yang sedang memimpin PAS bukan calang-calang orang di mana juga merupakan Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia dan penasihat kepada gerakan Islam peringkat dunia.
 
Katanya, pimpinan seperti Tuan Guru sentiasa menjaga amalan tahajud, doa dan seumpama dalam membuat penilaian dengan pandangan sangat luas serta merujuk tindakan kepada Majlis Syura Ulama.
 
Kerana itulah menurut Hilmi, PAS tidak pernah berubah dari dasar al-Quran dan as-Sunnah ketika pihak lain nyata telah berubah matlamat serta asas perjuangan mereka. - HARAKAHDAILY 10/3/2018