Mangsa ribut Puchong dibantu Muslimat PAS

Berita
Typography
PUCHONG: Muslimat PAS Kawasan Puchong telah mengadakan ziarah dan menyerahkan sumbangan kepada mangsa bencana ribut di Kampung Sri Aman, di sini semalam.
 
Kunjungan tersebut dipimpin Ketua Muslimat PAS Puchong, Norzaihan Ismail dan disertai sama Naib Ketua dan Pengerusi Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Puchong, Nor Zarina Mohd Azhar dan Noraino Shareff serta beberapa Ahli Jawatankuasa lain.
 
Lawatan tersebut turut disertai Biro Kebajikan Masjid Kampung Sri Aman dan pihak Sekolah Rendah Islam (SERI) Nurul Hidayah sebagai usaha silang-fungsi membantu dan menyantuni mangsa.
 
Sumbangan yang diberikan sebagai meringankan serta menampung keperluan mangsa membaiki kerosakan dialami kediaman masing-masing yang tercabut struktur atap atau dihempap pokok tumbang.
 
Dalam kejadian 6 Mac lalu, banyak pokok besar di sepanjang Jalan Jurutera tumbang, manakala kediaman dan SERI Nurul Hidayah serta Maahad Tahfiz Uthmani telah mengalami kerosakan premis. - HARAKAHDAILY 10/3/2018