Yakinlah dengan PAS mengurus negara

Berita
Typography
DUNGUN: Rakyat dan pengundi khasnya perlu yakin dengan kemampuan PAS bagi mengurus dan mentadbir negara ini dengan selamat.
 
Ketua Kebajikan PAS Dungun, Wan Hapandi Wan Nik mengingatkan rakyat usah terpengaruh dengan dakwah dan persepsi bahawa PAS hanya parti Tok Lebai.
 
Bahkan katanya, PAS sebuah parti yang turut disertai golongan ulama dan profesional boleh mengurus tadbir negeri serta negara ini.
 
"Jangan ingat kita (PAS) ini parti tok-tok lebai sahaja tetapi turut disertai oleh golongan profesional. Dalam parti kita ini adanya pakar-pakar, peguam, doktor, jurutera, ahli-ahli pakar ekonomi, saintis dan pelbagai bidang kemahiran yang ada dalam PAS.
 
"Dengan gabungan para ulama dan profesional ini. InsyaAllah, kita (PAS) mampu mengurus dan mentadbir negeri dan negara ini. 
 
"Rakyat kena yakin bahawa PAS ini telah terbukti mampu untuk mengurus tadbir negeri dan negara ini. Kita dapat mengurus ekonomi negara dengan jujur dan amanah seperti di Kelantan selama hampir 28 tahun," tegasnya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Markaz PAS Unit Peti Undi (UPU) Tepus, dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Besi, di sini kelmarin.
 
Dun Bukit Besi mempunyai 13 UPU dan Markaz UPU Tepus itu dirasmikan oleh Pengarah Pilihanraya PAS Terengganu, Ustaz Ariffin Deraman.
 
Cikgu Wan Hapandi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura menjelaskan bahawa PAS bukan parti bermusim seperti parti-parti pembangkang lain.
 
"PAS bukan parti bermusim, apabila hampir pilihan raya baharulah masing-masing (parti) tampil menonjol diri, sibuk nak masuk kampung, jumpa masyarakat dan buat macam-macam program. 
 
Kita (PAS) tak kira masa, tenaga-tenaga kita di kalangan ustaz-ustaz tanpa mengira musim sentiasa hadir di masjid, surau-surau, mengajar, kuliah maghrib, kuliah subuh dan sebagainya. 
 
"(PAS) Mengajar masyarakat memahami ilmu agama, soal-soal yang berkait dengan akidah, ibadah, akhlak dan lain-lain. Jadi tidak ada tarikh luput kita dalam kerja-kerja parti ini," ujarnya.
 
Menurut beliau, rakyat perlu bijak memilih pemimpin dan parti yang jujur serta amanah dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
 
Pada PRU13 lalu, Dun Bukit Besi ini berlaku pertandingan tiga penjuru yang dimenangi oleh calon BN, Roslee Daud mendapat 6,966 undi di mana calon PAS, Roslan Ismail (4,408) undi dan calon PKR, Mohd Shamsul Mat Amin hanya mendapat 52 undi. - HARAKAHDAILY 10/3/2018