Fastaqim Kembalikan Kemenangan Kijal

Berita
Typography
KEMAMAN: PAS MTD Kijal telah menganjurkan Fastaqim Kijal bertema "Kembalikan Kemenangan Kijal" di tiga tempat iaitu Meraga Beris, Teluk Kalung dan perkarangan Masjid Lama Bukit Kuang, di sini kelmarin.
 
Program dua hari itu bermula dengan konvoi motosikal mengiringi pendakwah, Ustaz Azhar Idrus ke majlis Kuliah Dhuha selain turut diadakan Hi-Tea bersama Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun, Ustaz Wan Hassan Wan Ramli. 
 
Antara acara lain adalah pertunjukan ular, tarian singa, acara mewarna, pertandingan masakan, dikir Barat, bicara santai bersama Ustaz Ridhuan Mohd Nor dan Xuar XPDC dan kemuncaknya Ceramah Perdana.
 
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan dalam ucapannya memaklumkan bahawa PAS memakai slogan "Malaysia Sejahtera" sebagai tema gerak kerja, aktiviti dan perjuangan semasa dalam menghadapi PRU14.
 
"PAS mahu membentuk sebuah negara yang rakyatnya, pentadbirannya, pengurusannya dan kepimpinannya adalah sejahtera, sejahtera pada apa yang dimaksudkan oleh syariat Islam. Baldatun Thayyibatun Wa Rabbun Ghafur, Negara yang sejahtera, yang diampunkan oleh Allah," ujarnya.
 
Pengarah MTD Kijal, Ustaz Hazri Jusoh berkata antara objektif program adalah untuk melihat kekuatan jentera pilihan raya dan sejauh mana sambutan masyarakat.
 
Dalam program yang sama juga di adakan Majlis Jamuan Rakyat dan 50 Cabutan Bertuah yang hadiah utamanya merupakan sebuah motosikal, serta Ikrar Petugas Pilihan Raya.
 
Turut hadir Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato' Ustaz Husein Awang, Yang Di Pertua PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Alias Abdul Hamid, Adun Chukai, Hanafiah Mat, Adun Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar dan Ketua Pemuda PAS Kemaman, Ustaz Ramlan Mahmood. - HARAKAHDAILY 11/3/2018