Dr Rosni dicadang calon PAS BTR

Berita
Typography
KUALA LUMPUR: PAS Kawasan Bandar Tun Razak sebulat suara mencalonkan Ketua Dewan Muslimat PAS Bandar Tun Razak, Dr Rosni Adam untung bertanding kerusi Parlimen P.124 itu pada PRU14, sekali gus menyaksikan pertembungan tiga penjuru.
 
Keputusan tersebut diumumkan selepas Mesyuarat Agung Tahunan PAS Bandar Tun Razak Kali Ke-30 yang dirasmikan oleh Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Dato' Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh di Darul Tarbiyah, Kampung Malaysia Tambahan, di sini pagi tadi.
 
"Pengumuman secara rasmi akan dibuat oleh PAS Pusat sendiri, tapi PAS Bandar Tun Razak secara rasminya telah mencadangkan Dr Rosni Adam sebagai calon kita untuk bertanding di sini. Beliau juga merupakan anak tempatan di sini, telah dibesarkan di sini.
 
"Kami yakin beliau adalah calon yang paling sesuai sebagai Ahli Parlimen Bandar Tun Razak," kata Yang DiPertua PAS Bandar Tun Razak, Md Syukor Aziz dalam sidang media tadi. 
 
Sementara itu, Dr Rosni ketika ditemui Harakah berkata, tiga nama calon sebelum ini telah dihantar oleh PAS Bandar Tun Razak ke Majlis Syura Ulama dan nama beliau mendahului calon-calon lain telah sebulat suara dipilih PAS Kawasan.
 
Ujarnya, ini hanyalah cadangan daripada PAS Bandar Tun Razak, manakala keputusan rasmi akan diumumkan oleh PAS Pusat dalam masa terdekat ini.
 
"Walaupun tiga penjuru, mungkin satunya ialah dari segi jentera dan gerak kerja alhamdulillah PAS ke depan, dan mungkin kelebihan kepada PAS lagi ialah apabila meletakkan calon anak tempatan. Sebab saya anak tempatan di sini, walaupun dilahirkan di Melaka tetapi membesar dan bersekolah pun di sini," katanya.
 
Tambah beliau, maklum balas sejumlah hampir 100,000 pengundi Bandar Tun Razak sememangnya telah lama menantikan PAS untuk bertanding di parlimen tersebut yang kini disandang oleh wakil rakyat bebas, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
 
Sejak tahun 1995, kerusi Parlimen P.124 telah dipegang oleh MCA sehinggalah dirampas Pakatan Rakyat pada PRU 2008 yang meletakkan Abdul Khalid sebagai calon.
 
Khalid kekal menewaskan pencabarnya dari MCA pada PRU ke 13, Tan Kok Eng dengan kemenangan besar iaitu sebanyak 11,832 undi. -HARAKAHDAILY 11/3/2018