Kelantan bina pasar, peruntukan persekutuan tidak sampai

Berita
Typography

KERAJAAN Kelantan mengambil inisitif sendiri dengan membina sebuah pasar di Binjai, Kota Bharu dekat sini selepas peruntukan daripada kerajaan persekutuan tidak sampai.

Exco Kerajaan Tempatan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM4.5 juta bagi membina struktur dua tingkat itu.

Menurutnya, langkah tersebut bagi menggantikan pasar sejahtera dengan peruntukan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dijanjikan dua tahun lalu.

"Perancangan asal memang begitu dengan peruntukan lebih kurang RM7 juta, semua pelan sudah diterima, tetapi setelah lebih setahun peruntukan ini tidak turun.

"Sehubungan itu, kita mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan, MPKB-BRI untuk melakukan sendiri projek tersebut yang dijangka siap hujung tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan pecah tanah pasar berkenaan yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan, Ahmad Yakob.

Turut hadir Adun Demit, Mumtaz Mad Nawi; Yang Dipertua Majlis Perbandarkan Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Datuk Zamri Ismail dan timbalan exco, Abdul Rahman Yunus.

Abdul Fattah berkata, kos berkenaan meliputi RM2.5 juta membina bangunan dan masing-masing RM2 juta bagi proses menambung dan pengambilan tanah penduduk di kawasan itu.

Projek berkenaan dimajukan oleh AUEI Teras Holdings bakal menjadi kawasan Lembah Binjai sebagai satu lagi pusat yang mempunyai daya tarikan yang tersendiri.

Menurutnya, seramai 500 orang peniaga yang menjalankan urusan di Kubang Kerian dan Binjai akan dipindahkan ke lokasi berkenaan apabila ia siap kelak.

"Tapak ini kita bina lebih dari setahun usianya, jadi peniaga-peniaga ini di Pasar Binjai dan Kubang Kerian, kita kumpulkan mereka di tempat yang lebih selesa di sini," katanya. - HARAKAHDAILY 5/3/2017