Tukar pemerintahan PAS di Kelantan, beri sebab kukuh

Berita
Typography

PIHAK yang berhasrat menukar pemerintahan PAS di Kelantan perlu tampil menyatakan sebab yang kukuh untuk berbuat demikian.

Menteri Besar Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri kini berpandukan kepada keberkatan dan juga kebajikan.

Sebaliknya menurut beliau, ada individu yang terus-menerus mendakwa kerajaan negeri gagal memberi kebajikan kepada rakyat.

"Apa lagi yang kita tidak berikan manfaat kepada rakyat, kita mampu melahirkan golongan tahfiz di sekolah kelolaan kita.

"Apa lagi yang kita mahu, adakah hanya makan minum yang sedap kemudian 'keluar' setiap hari?" soal beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian pecah tanah Pasar Binjai dekat Kota Bharu, semalam.

Sehingga kini kerajaan negeri menguruskan 89 buah sekolah dengan seramai 40,000 pelajar yang didedahkan ilmu agama dan akademik.

Atas kegigihan itu katanya, Kelantan mampu melahirkan modal insan yang baik walaupun terdiri daripada orang kelainan upaya (OKU).

Katanya, beliau kagum dengan kebolehan qari remaja cacat penglihatan, Muhammad Qayyim menjuarai Tilawah Al Quran Peringkat Kelantan 2017.

Muhammad akan mewakili Kelantan dalam pertandingan tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan di Melaka, ujarnya.

"Begitu hafizah umur 15 tahun menghafal 30 juzuk yang boleh mentafsir al-Quran secara bebas.

"Kita memerintah negeri ini berpandukan syariat agar semua rakyat dari pelbagai lapisan dapat merasai keberkatan dalam hidup," katanya. - HARAKAHDAILY 5/3/2017