Siapa pilihan PAS, tunggu lepas PRU14

Berita
Typography

SHAH ALAM: PAS mensasarkan bertanding sekurang-kurangnya 130 kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pendirian itu diulang penegasannya dalam ucapan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada program ‘Town Hall Mega’ di sini, kelmarin.

"Kalau boleh 40 kerusi pun tidak mengapa, jadi kingmaker. Tiada parti yang boleh tubuh kerajaan. Mana-mana parti akan minta kita tubuh kerajaan. Sebenarnya kingmaker bukan 40 kerusi, 10 kerusi pun boleh jadi kingmaker .

"Kita letak 40 kerusi supaya kedudukan kita jadi kuat," ujar beliau kepada tetamu program berkenaan.

Beliau menambah. PAS juga komited untuk memastikan Islam menjadi cara hidup masyarakat Malaysia.

Ketika ditanya seorang peserta, siapakah pilihan PAS setelah menjadi kingmaker, Barisan Nasional atau Pakatan Harapan, beliau menegaskan bahawa pihak yang paling menerima Islam dan tidak menghalang pelaksanakan Islam akan menjadi pilihan.

Namun, beliau juga menambah bahawa segala keputusan itu hanya akan diketahui selepas pilihan raya, kerana tidak tahu berapa jumlah kerusi yang akan diperolehi.

"Lepas pilihan raya, kalau Allah takdirkan berlaku demikian. PAS ada Majlis Syura Ulamak, ada muktamar. Kita akan bincang dengan Majlis Syura Ulamak mana parti yang lebih dekat dengan Islam.

"Yang kedua, kita akan buat muktamar khas, akar umbi parti. Perlu dapat dokongan akar umbi parti," tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 9/4/2018