Usah keliru, Tun M sekadar mahu jatuhkan Najib

Berita
Typography

TUMPAT: Orang Melayu di negara ini usah keliru terhadap perjuangan Tun Dr Mahathir Mohamad sebenarnya sekadar mahu menjatuhkan Dato’ Seri Najib Razak.

Bekas Naib Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Mohd Nor Hashim Che Min berkata, berdasar kepada perjumpaan bersama Pengerusi PPBM terbabit sebelum ini beliau menjelaskan mahu menjatuhkan Najib bagi menyelamatkan Malaysia.

Oleh itu, katanya bagi mencapai misi tersebut beliau bergabung dengan DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan PKR.

“Sedangkan semua orang masih ingat PKR diwujudkan kerana penganiayaan yang dilakukan Dr Mahathir terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan tuduhan liwat.

“Hari ini bekas perdana menteri terbabit bersama pula dengan PKR yang diwujudkan sebelum ini kerana semata-mata penganiayaannya terhadap Anwar,” katanya pada ceramah di Dun Wakaf Bharu malam semalam.

Menurutnya, tindak tanduk Dr Mahathir banyak memecah belah orang Melayu sehingga melahirkan parti lain seperti PKR.

Pada Mac lepas, Mohd Nor bersama 33 lagi bekas Armada dan Srikandi PPBM Kota Bharu menyertai PAS beramai-ramai. (Foto atas) – HARAKAHDAILY 9/4/2018