PH akan dilanda krisis di Paya Jaras

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Dato’ Iskandar A Samad yakin tidak ada lagi Ahli Dewan Negeri (ADN) PAS Selangor yang akan menyeberangi ke PKR atau parti-parti lain.

Oleh itu, kata Naib Presiden PAS itu dakwaan bahawa terdapat ADN yang akan keluar parti adalah tidak benar sama sekali.

Menurutnya, ADN-ADN PAS Selangor sedang bersemangat untuk menghadapi PRU14.

“Kesan perpindahan ADN Paya Jaras adalah terhad kepada kawasan Paya Jaras sahaja.

“Ia tidak akan memberi kesan yang besar kepada PAS di kawasan-kawasan lain di Selangor,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, jentera PAS di kawasan-kawasan bergerak seperti biasa.

“Walau bagaimanapun sebagai Naib Presiden yang ditugaskan untuk memantau Negeri Selangor, saya akan meminta PAS Selangor mengemukakan satu laporan lengkap tentang kemasukan ADN Paya Jaras ke dalam PKR.

“Saya yakin PAS akan dapat mempertahankan kerusi Paya Jaras,” ujarnya.

Katanya, kemasukan ADN Paya Jaras akan menimbulkan konflik dalaman kepada Pakatan Harapan.

Beliau berkata, jika bekas ADN Paya Jaras itu dicalonkan semula, maka PAN akan kehilangan kerusi tersebut.

Katanya, ini bermakna calon PAN yang bercita-cita untuk bertanding di situ akan kecewa.

“Krisis akan tercetus dan boleh merebak ke tempat-tempat lain,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 10/4/2018