Nasrudin calon PAS di Parlimen Indera Mahkota

Berita
Typography

KUANTAN: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan telah diumumkan sebagai calon PAS di Parlimen Indera Mahkota pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini.

Pengumuman itu dibuat Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam Majlis Amanat Pilihan Raya PAS Teraju Pahang di Padang Awam Cenderawasih, malam tadi.

Berucap semasa mengumumkannya, Tuan Guru Abdul Hadi berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kemampuan Nasrudin yang sebelum ini bertanding di kerusi Parlimen Temerloh pada pilihan raya umum lalu.

“Calon Indera Mahkota yang jadi wakil PAS ialah Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi, yang pernah duduk di Parlimen mewakili Temerloh, pasal apa mari sini, kerana rumah dia sini.

“Temerloh, PAS akan bertanding juga, orang lain pula yang bertanding, sudah tentu orang Indera Mahkota senang dia duduk di sini, dan dia ada ilmu, dia ada kelayakan, boleh berhujah, tak senyap duduk di Parlimen, insya Allah," ujar beliau.

Beliau menambah, PAS memiliki jentera bagi Parlimen Indera Mahkota dan tidak ada masalah untuk bertanding di kerusi tersebut.

Pada PRU13 lalu, Nasrudin menang di Parlimen Temerloh menewaskan calon BN, Dato’ Saifudin Abdullah. - HARAKAHDAILY 11/4/2018