Mahathir pun tak tahu nak daftar parti?

Berita
Typography

KUANTAN: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang secara sinis berkata bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohammad tidak tahu untuk mendaftarkan parti yang dikepalainya.

Telahan Presiden PAS itu merujuk kepada pembubaran sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS), baru baru ini.

“Takkan lama jadi Perdana Menteri tak tahu nak daftar. Kena ikut syarat-syarat dia lah. Kalau tak kena syarat, bagaimana ROS nak lulus.

“Macam orang nak pergi daftar lulus lori dia nak angkut barang di JPJ, lori baru dah letak tayar tak dak bunga,” ujar beliau pada program Majlis Amanat Pilihan Raya PAS Teraju Pahang di Padang Awam Cenderawasih, di sini malam tadi.

Khamis lalu, RoS mengeluarkan perintah pembubaran sementara PPBM, memberikan tempoh 30 hari untuk melengkapkan butiran yang diperlukan atau berdepan pembubaran.

Perintah itu dikeluarkan mengikut Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966.

PPBM tidak dibenarkan menggunakan nama, logo dan melaksanakan aktiviti berkaitan parti dalam tempoh 30 hari pembubaran sementara itu.

Turut Guru turut mengimbau di zaman pemerintahan Mahathir yang mudah meluluskan perdaftaran parti Berjasa untuk menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan.

“Dulu pernah di Kelantan dia nak jatuhkan Kerajaan PAS, Parti Berjasa berapa minggu saja lulus, boleh jatuh PAS Kelantan. Alhamdulillah Berjasa masuk kita sekarang,” kata beliau di hadapan hadirin disambut laungan takbir.

Berjasa merupakan salah satu daripada parti komponen dalam Gagasan Sejahtera yang diterajui PAS bersama beberapa lagi parti seperti Parti Cinta Malaysia, Parti Ikatan dan Parti Generasi Baru. – HARAKAHDAILY 11/4/2018