Calon 'Non-Muslim' bukan simbolik

Berita
Typography

KUANTAN: Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, calon bukan Islam daripada parti itu pada Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) bukan sekadar simbolik tetapi untuk mencapai kemenangan.

“Ya, akan ada calon bukan Islam. Ada jumlahnya, tempat yang munasabah. Kita mahu mereka bertanding bukan hanya untuk simbolik sahaja tetapi bertanding untuk menang,” kata beliau pada sidang media selepas Program Majlis Amanat Pilihan Raya PAS Teraju Pahang di Padang Awam Cenderawasih, di sini malam tadi.

Beliau juga menjelaskan PAS sewaktu memerintah Terengganu meminda perlembagaan negeri bagi membolehkan Dewan Undangan Negri (Dun) melantik Adun dari kalangan bukan Islam.

“Bahkan ada negeri kita dapat majoriti lebih, tahun 1999 dulu Terengganu sebagai contoh, kita pinda perlembagaan negeri sekiranya tidak ada orang bukan Islam yang dipilih dalam pilihan raya, Dewan Negeri boleh melantik Adun daripada kalangan orang bukan Islam,” ujar beliau yang pernah menjadi menteri besar ketika itu.

Jelas beliau lagi, PAS akan memperkenalkan kerajaan teknokrat.

“Bahkan kita tambah, akan memperkenalkan kerajaan teknokrat. Bukan sahaja melibatkan mereka yang bertanding dalam pilihan raya termasuklah di kalangan pakar daripada orang Islam, daripada semua kaum, daripada orang bukan Islam pun akan ada dalam kabinet,” ujar beliau

Ditanya apakah peluang PAS untuk menang di Pahang beliau berkata parti itu memiliki cawangan, jentera dan akar umbi yang banyak di samping akan mengetengahkan ramai calon muda yang bertenaga dan berpengalaman.

Tambahnya, PAS memiliki jentera yang banyak sehinggakan pilihan raya yang lepas, parti komponen di dalam Pakatan Rakyat banyak menggunakan jentera PAS termasuklah DAP dan PKR.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, PAS negeri akan bertanding di 40 kerusi Dun dan 14 kerusi Parlimen pada PRU14. – HARAKAHDAILY 11/4/2018