Bekas ahli akui PPBM berdepan masalah

Berita
Typography

KOTA BHARU: Bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kota Bharu mengakui terpaksa menggunakan duit poket sendiri bagi mewujudkan parti itu.

Bekas Naib Ketua PPBM Kota Bharu, Mohd Nor Hashim Che Min berkata, parti itu sejak peringkat awal lagi berdepan masalah kewangan bagi menggerakkan parti. (Foto: Ketua Srikandi PPBM menyerah borang menyertai PAS Ketua Muslimat Kota Bharu, Rohani Ibrahim.)

Katanya, setiap parti memerlukan dana untuk memastikan pengurusan parti berjalan lancar terutamanya jentera pilihan raya.

“Tetapi apabila dana itu tidak ada macam mana kita hendak menjalankan kerja. Ini menyebabkan saya sedikit dukacita.

“PPBM bukan parti seperti PAS yang tidak ada duit sejak dahulu lagi. Pimpinan PAS juga tidak seperti pimpinan PPBM yang lahir dari Umno, merupakan parti kaya dan pemimpinnya juga kaya.

“Sepanjang berada bersama parti itu duit tidak turun ke bawah. Saya kesian kepada bahagian dan jentera yang melakukan kerja di peringkat akar umbi.

“Kadang-kadang mereka terpaksa mengeluarkan dana sendiri, jadi inilah yang saya rasa seolah-olah berlaku penindasan,” katanya di sini.

Menurutnya juga mana-mana ketua bahagian PPBM orang yang tiada duit, bahagian itu akan berdepan masalah.

Baru-baru ini PPBM dibubar sementara oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan akibat kelemahan pentadbiran dan bantahan daripada ahli parti itu sendiri. – HARAKAHDAILY 11/4/2018