Kriteria agama pilih calon PAS

Berita
Typography

TUMPAT: Agama menjadi kriteria utama bagi pemilihan calon PAS yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, 9 Mei ini.

Setiausaha Majlis Syura Ulamak, Dato’ Dr Nik Mohamad Zawawi Salleh berkata, laporan berkaitan amalan agama seseorang calon diambil kira.

Katanya, Majlis Syura mendapatkan laporan berkaitan perkara itu daripada PAS negeri-negeri sebelum dibuat keputusan kelayakan calon terbabit.

“Kita tapis setiap senarai calon yang sampai dengan mengambil kira soal agama. Pemimpin yang sering ingat mati akan berkhidmat lebih baik kepada rakyat.

“Pada zaman awal sahabat, kriteria pemilihan pemimpin ditengok kemampuan mereka bermunajat kepada Allah SWT pada malam hari,” katanya pada ceramah Pertahan Dun Kelaboran di pekan Tumpat malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, Adun Kelaboran, Mohamad Zaki Ibrahim, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Mohd Asri Daud dan Setiausaha PAS Tumpat, Mohd Adanan Hassan.

PAS akan mengumum serentak nama-nama calon pada malam 19 April ini di seluruh negara. – HARAKAHDAILY 12/4/2018