PAS komited bantu selesai kos hidup rakyat

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: PAS komited mencari jakan membantu menyelesaikan masalah mereka yang berada pada golongan B40, yang terdiri dari rakyat Malaysia yang berpendapatan bawah RM2,500.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, golongan ini agak terkesan dengan apa yang berlaku mutakhir ini dengan pelbagai peningkatan harga barang keperluan dan perkhidmatan.

Kata beliau, dengan sebab itulah dalam apa keadaan sekalipun, hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan dan maslahah yang berlaku dalam kalangan mereka ini perlu ditangani dengan baik.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Malaysia Sejahtera, malam tadi.

Menurutnya, antara perkara yang penting yang ditekankan dalam Manifeso PAS adalah dengan membina modal insan yang baik yang berkualiti dalam kalangan rakyat di negara ini.

“Perkara yang tidak boleh dipisahkan ialah berkenaan dengan pengilmuan dari kalangan rakyat yang ada di negara ini.

"Apabila ada ilmu di sana, adanya peningkatan kemahiran dia untuk mencari pekerjaan atau dia sendiri boleh untuk meneroka pekerjaan bagi memberikan kehidupan yang berkualiti untuk mereka sendiri," tegasnya.

Tambah beliau,yang keduanya PAS melalui manifestonya memikirkan soal bantuan modal.

“Bantuan modal ni kadang-kadang ia menjadi kerumitan kepada mereka untuk memulakannya maka dengan sebab itu di dalam manifesto PAS pun kita berikan kepada mereka bantuan modal.

"Sekurang-kurangnya pada peringkat permulan ini mereka sedikit demi sedikit, insya Allah mereka dapat membina empayar perniagaan mereka sendiri," katanya lagi.

Seterusnya menurut beliau, PAS memfokuskan tawaran membangunkan ataupun memajukan banyak tanah-tanah terbiar.

PAS, kata beliau akan memberi perhatian dengan konsep yang sama iaitu dengan memberikan bantuan subsidi kepada mereka.

“Dalam membangunkan tanah terbiar ini tadi kita tidak akan membiarkan begitu sahaja. Mesti kita ada follow up,” ujarnya lagi.

Selain itu, kata beliau, PAS menggalakkan supaya dalam soal pengagihan kekayaan ini, berlaku dengan baik.

Justeru itu, beliau berkata, PAS menggalakkan penubuhan koperasi di kampung-kampung kerana secara tidak langsung keuntungan mereka dapat diagih-agihkan secara bersama. – HARAKAHDAILY 12/4/2018