Teguhkan hati tempuhi halangan PRU14

Berita
Typography

BESUT: Ahli-ahli PAS diminta sentiasa bersedia dengan halangan-halangan yang mesti dilalui sebagai menguji keteguhan hati dalam membawa mesej Islam.

Apatah lagi pada PRU ini, PAS akan menghadapi satu lagi gangguan dalam usaha mendaulatkan Islam iaitu daripada Pakatan Harapan, selain dari Umno.

“Kita berada di jalan yang terlalu banyak rintangannya, hanya kerana kita membawa mesej Islam. Hal ini telah dilalui oleh para anbiya’ melalui kisah-kisah yang telah dinukilkan di dalam al-Quran.

"Oleh itu kita mesti yakin bahawa semakin kuat kita menjulang Islam, semakin besar halangan dari golongan yang membenci Islam,” demikian antara ucapan oleh Ketua Penerangan PAS Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Beliau berkata demikian dalam satu majlis Taujihat Pilihanraya anjuran PAS Kawasan Besut yang diadakan di Dewan Haji Salleh, Alur Lintang, di sini kelmarin.

Turut dinasihatkannya ialah agar ahli-ahli tidak mendengar fitnah yang dikira sebagai perang psikologi dibawakan oleh musuh supaya PAS menjadi lemah dan tidak bersemangat atau sibuk membicarakan fitnah itu.

Antara lain yang turut ditekankan ialah ahli-ahli tidak hanya menjadi penumpang di dalam PAS, tetapi sebaliknya mereka semua mesti berkerja bagi memastikan kemenangan dan mendapat pahala di sisi Allah.

“Jika kita berkerja dan kita ditakdirkan Allah, kita kalah, insyaAllah, kita akan mendapat pahala dari Allah.

"Tetapi jika kita tidak berkerja, hanya menunggu dikalahkan, bagaimana kita akan mendapat ganjaran dari Allah?” soal beliau kepada hadirin.

Ustaz Mohd Nor juga menggesa agar semua ahli untuk ikhlas, taat kepada pimpinan dalam perkara yang tidak melanggar hukum Allah, tidak berbalah sesama sendiri, sabar dengan segala ujian dalaman mahupun luaran, sebagai resepi utama kemenangan.

Kira-kira 150 orang petugas-petugas pilihanraya PAS dari seluruh Kawasan Besut hadir mendengar taujihat ini bagi dibuat bekalan menghadapi PRU nanti.

Program itu turut dihadiri oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Hussein Awang, Yang DiPertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad serta mantan calon parlimen Besut, Ustaz Riduan Mohamad Noor.-HARAKAHDAILY 12/4/2018