PAS bukan sekadar selesai jurang ekonomi

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Dalam proses menyelesaikan masalah jurang ekonomi, kemiskinan dan kos hidup yang melampau, PAS melihat bukan hanya menyusun sistem, tetapi manusia itu sendiri juga mesti diperbetulkan.

Demikian tegas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dalam program bual bicara Malaysia Sejahtera, malam tadi.

Menurut beliau, jika dilihat mereka yang menyeleweng, menerima rasuah, salah guna kuasa dan yang menindas bukanlah terdiri dalam kalangan golongan miskin.

Sebaliknya kata beliau, ramai dalam kalangan mereka ini yang bergaji puluhan ribu Ringgit.

"Apa lagi yang tak cukup. Bahkan sesetengahnya beratus-ratus ribu pendapatannya, bermakna bahawa, masalah kita bukan masalah harta tapi masalah individu yang mengurus harta," ujarnya.

Sehubungan itu, kata beliau PAS menawarkan bukan sahaja penyelesaian dalam menghadapi cabaran jurang dan bebanan kos hidup yang meningkat, malah lebih besar adalah mendidik manusia.

"Manusia perlu dididik, jiwa manusia perlu diperbetulkan supaya dia tidak jadi tamak haloba, akhirnya dia akan menindas dan tak pernah rasa cukup.

“Alangkah baiknya kalau kita menjadi seorang mukmin yang kaya, yang murah rezeki tapi tidak tamak, tidak haloba, tidak sampai buat benda haram. Bahkan kita seronok bila kita boleh menolong orang yang susah. Inilah konsep yang PAS gagaskan," ujar beliau. – HARAKAHDAILY 13/4/2018