Almarhumah Tuan Yah: Damailah jiwa yang tenang

Berita
Typography

JEMPOL: PAS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga almarhumah Tuan Yah Raja Selaiman, ibu kepada Ketua Pengarang Harakah Wan Nordin Wan Yaacob yang kembali ke rahmatullah kerana sakit tua lewat malam Jumaat lalu di kediamannya di Felda Palong 4, Negeri Sembilan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan menyifatkan pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada muslimat di negara ini kerana jasanya yang telah melahirkan dan membesarkan sebuah aset tidak ternilai harganya kepada gerakan memartabatkan syiar Islam di negara.

"Semoga Allah SWT memberikan ketenangan kepada almarhumah kerana beliau telah pergi dalam keadaan meninggalkan satu aset yang sangat berharga untuk umat Islam di mana anaknya Wan Nordin adalah seorang yang sangat gigih dan begitu bersungguh-sungguh berjuang dalam arena penulisan dan pemberitaan.

"Sudah tentu tulisannya mewakili gerakan jemaah Islam dan begitulah peranannya tidak ubah seperti peranan sebagai pemimpin atau aktivis jemaah yang lain yang juga bermaksud menyampaikan risalah kepada masyarakat di luar sana.

"Tentu sahaja peranannya adalah mengambil tempat warisan yang telah ditinggalkan oleh Nabi SAW, sebab antara peranan Nabi itu sendiri disebut sebagai nabi ialah penyampai yang menyampaikan berita. Terlalu banyak manfaat yang diambil oleh masyarakat sekian lama sejak beliau terlibat dengan Harakah.


"Kemudian sehingga sekarang beliau menjawat jawatan Ketua Pengarang Harakah, tentu sahaja penulisan beliau bukan sahaja dibaca oleh masyarakat tetapi juga menimbulkan kesedaran, keinsafan dalam kalangan masyarakat untuk memahami apakah sebenarnya perspektif perjuangan yang dibawa oleh PAS," katanya ketika ditemui Harakah selepas almarhumah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Palong 4, pagi Sabtu 7 April lalu.

Menurutnya, allahyarhamah bersama suaminya suatu masa lalu adalah merupakan antara peneroka pertama yang membuka tanah Felda Palong 4 telah merintis dan menghidupkan gerakan jemaah PAS dengan menjadikan kawasan rumahnya dan rumah jiran, almarhum Reduan Ashaari sebagai markas PAS di kawasan itu.

Kini terdapat PASTI di sini (rumah Reduan Ashaari) dan Markas Induk Jawatankuasa Pilihan Raya Dun Palong (JPRD) di rumah allahyarhamah Tuan Yah.

Ujarnya, allahyarhamah bersama suami, Wan Yaacob Wan Setapa telah melakukan sebuah pengorbanan yang cukup besar kepada gerakan Islam negara ini kerana tidak mudah menjadikan rumah kediaman sendiri sebagai tempat tarbiyah PAS yang terpaksa berdepan dengan pelbagai cemuhan masyarakat yang rata-ratanya tidak memahami perjuangan Islam yang dibawa PAS.

"Tentu sahaja keluarga ini sangat sabar orangnya, apabila boleh bertahan dengan cemuhan masyarakat dan menjadikan rumah mereka sebagai markas PAS kerana saya sendiri pernah melalui situasi sedemikian suatu masa lalu.

"Apa yang menarik ianya menjadi pedoman atau contoh tauladan kepada ibu-ibu di luar sana yang lain untuk mencontohi bagaimana beliau boleh menjadi isteri yang menyokong gerakan Islam dan melahirkan zuriat yang mampu berjuang untuk Islam di tanah air ini," katanya.

Ibu kepada lapan adik beradik itu pergi di usia 75 tahun, berasal dari Kelantan berpindah bersama suamInya ke Negeri Sembilan sekitar awal 70-an.

Beliau telah mendapat pendidikan agama tidak formal di beberapa pondok di Kelantan, sempat berguru dengan ulama' terkenal Kelantan, allahyarham Tuan Guru Abdul Rahman atau lebih dikenali Tuan Guru Haji Deraman.

Walaupun tidak pandai membaca, beliau banyak melibatkan diri melakukan kerja-kerja di belakang tabir antaranya menyumbang tenaga memasak untuk para pimpinan dan amilin PAS yang hadir ke rumahnya yang merupakan markas PAS.

Menceritakan serba sedikit latar belakang Tuan Yah, anaknya Wan Nordin Wan Yaakob berkata ibunya antara yang berusaha banyak memberi sumbangan untuk menghidupkan cawangan melibatkan kewangan, peralatan dan sebagainya.

"Saya ingat lagi masa satu peristiwa masa itu nak beli pembesar suara, dia kumpulkan duit dan mencari sumbangan menjayakannya. Jadi ayah bersama dengan allahyarham Abang Ridhuan (perintis PAS Cawangan Felda Palong 4) bersama lagi seorang Yusof kumpulkan duit.

"Boleh dikatakan setiap hari hasil daripada menoreh getah, meniaga sayur-sayuran akan diinfakkan sedikit kepada parti. Kalau ada apa sahaja program, dan pimpinan datang arwah mak memang cukup suka dan gembira dapat jumpa dan merai kehadiran pimpinan. Mak sangat sayangkan parti," katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Pemuda PAS Palong (1985), Abu Samah Harun yang kini Ketua Cawangan PAS Palong 4 menggambarkan allahyarhamah seorang wanita yang gigih dan kuat kerana turut terlibat menyumbang kepada penubuhan PASTI Nurul Hidayah Palong 4 yang telah selamat dirasmikan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pada 13 Mac 2014.

Allahyarhamah jatuh sakit sejak 3 tahun lalu, melalui detik-detik sukar untuk pulih sejak itu. Beliau menghidap kencing manis dan tekanan darah tinggi, dan tahun lalu mengalami patah kaki kiri akibat tergelincir di rumah.

Sejak itu, beliau hanya berbaring sahaja di rumah dan sejak beberapa bulan lalu, keadaannya makin berat selain badannya susut. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya dipangkuan anak anak dan suami pada 6 April (Jumaat).

Tenanglah jiwa pejuang, berehatlah di sana. Al-Fatihah. – HARAKAHDAILY 13/4/2018

kubur2

Ustaz Nasrudin bersama Wan Nordin (kanan) dan Abu Samah Harun (kiri).