Buatlah pilihan terbaik - Ustaz Wan Azhar

Berita
Typography
BESUT: Peluang lima tahun sekali kuasa mengundi dalam pilihan raya wajar diberi pertimbangan oleh rakyat memilih kerajaan yang benar-benar boleh diharapkan.
 
Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad mahu rakyat dan pengundi membuat perbandingan antara kerajaan yang terbaik.
 
Menurutnya, rakyat kena buat pilihan sama ada Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) yang korup atau PAS yang berlandaskan Islam.
 
"Inilah masa rakyat akan buat keputusan untuk memilih kerajaan yang akan memerintahnya untuk lima tahun akan datang. Kita (rakyat) nak duduk di bawah kerajaan yang macam mana? 
 
"Di bawah kerajaan sekarang (Ahmad Razif) atau teringat ketika di bawah kerajaan PAS (Tuan Guru Abdul Hadi) dulu. Kita kena buat perbandingan secara berani, secara jujur untuk buat keputusan," ujarnya dalam Ceramah Isu Semasa PRU14 di Kampung Alor Lintang, Jertih, di sini kelmarin.
 
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Penerangan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat, Dr Bala Chandran GK dan bekas kumpulan heavy metal terkenal XPDC, Zuar.
 
Kata Ustaz Wan Azhar, Kerajaan PAS Kelantan terbukti bersih dan bebas rasuah sepanjang 28 tahun pemerintahannya.
 
Malah menurutnya ketika almarhum Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz menjadi Menteri Besar Kelantan, pintu siasatan dibuka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
 
"Almarhum Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz, apabila orang cabar kata ada penyelewengan balak dan sebagainya. Beliau sedia pelawa kepada pihak SPRM datang untuk siasat 25 jam sehari semalam. 
 
"Jika ada di kalangan ahli Exco kerajaan Kelantan buat kerja tak molek (rasuah), buat penyelewengan, pelari duit rakyat atau berlaku ketirisan di peringkat Exco-exco tolong dedahkan, ambo (Nik Aziz) nak ambil tindakan. 
 
"Alhamdulillah, sepanjang perintahan Tuan Guru Nik Aziz tidak berlaku ketirisan itu," jelasnya kepada hadirin.
 
Menurutnya, dewan parlimen didedahkan mengenai pemimpin politik yang disiasat kes rasuah melibatkan 71 kes BN, Pakatan Harapan 21 kes dan tidak ada kes untuk PAS. HARAKAHDAILY 14/4/2018