Bukan Islam sokong PAS

Berita
Typography

POKOK SENA: “Sehingga hari ini terdapat kalangan orang bukan Islam yang menyokong kita,” ujar Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Beliau berkata demikian pada program Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Pokok Sena dan Jamuan Rakyat di Pokok Sena, semalam.

“Kaum Cina, kaum India menjadi ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), dia bersama dengan kita,” kata beliau merujuk kepada dewan yang menghimpunkan golongan bukan Islam yang menyokong PAS.

Beliau menjelaskan Al-Mawardi yang merupakan pengarang kepada kitab Al-Ahkam As-Sultaniyah menulis kitab berdasarkan kepada masyarakat.

“Kita menunjukkan Islam yang adil kepada semua kerana kita nak memperkenalkan Islam. Bila kita memperkenalkan Islam, orang bukan Islam sama ada dia terima agama Islam atau pun dia tunduk di bawah Kerajaan Islam,” ujar beliau. (Foto di atas daripada Facebook Tuan Guru.)

Katanya, Islam pernah memerintah Nusantara termasuk Indonesia namun Islam tidak memusnahkan rumah ibadat agama lain.

“Di Indonesia masih ada biara Borobudur, rumah ibadat agama Buddha bukan saja rumah ibadat agama Hindu di Indonesia, Kerajaan Demak, Kerajaan Wali Songo tidak memusnahkan rumah ibadat orang bukan Islam, tak dipaksa

“Dia masih ada gereja-gereja Koptik Kristian. Penganut-penganut dia masih ada lagi sehingga hari ini,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 15/4/2018