Pemuda Putrajaya lapor polis tuduhan palsu Ku Nan

Berita
Typography
PUTRAJAYA: Pemuda PAS Putrajaya membuat laporan polis terhadap Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung tuduhan pengambilan 'pil kuda' dilemparkannya.
 
Laporan tersebut telah dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Putrajaya, Zulfikar Abd Kasim di Balai Polis Presint 7, di sini semalam.
 
Dalam laporan itu, Zulfikar meminta tuduhan tersebut disiasat dibawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta AntiBerita Tidak Benar 2018.
 
"Tuduhan yang dilemparkan bersifat untuk memburukkan PAS dan pemimpin PAS, dan ianya boleh disalahertikan seolah-olah pemimpin PAS yang membekalkan pil kuda kepada petugas-petugasnya," ujarnya.
 
Zulfikar juga meminta Tengku Adnan agar memberikan bukti berkenaan tuduhan yang dilemparkan itu.
 
"Kita harap Datuk Seri Tengku Adnan dapat mengemukakan bukti yang kukuh dan tidak hanya sekadar membawa berita palsu bersifat fitnah dan berniat jahat untuk memburukkan imej PAS," katanya.
 
Zulfikar menafikan dakwaan Setiausaha Agung Umno itu yang disiarkan oleh portal Malaysiakini pada 14 April 2018. -HARAKAHDAILY 16/4/2018