‘PAS boleh hidup, tak mati’

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: PAS tegas akan terus istiqamah dengan dasar Islam dan bekerjasama dengan pihak yang tidak menghalang cita-cita Islam.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS boleh berkerjasama dengan mereka yang menerima agenda Islam dan tidak menghalang cita-cita Islam.

“Kalau semuanya tak mahu dengan Islam, boleh bersatu dengan BN boleh bersatu dengan Pakatan Harapan . PAS akan jadi pembangkang, terus jadi pembangkang,” ujarnya semasa berucap pada program Himpunan Jentera PRU14 PAS Negeri Pulau Pinang dan Amanat Presiden PAS di Permatang Pauh, petang semalam, yang disiarkan menerusi facebook.

Kata beliau, PAS pernah menjadi pembangkang dengan hanya satu kerusi sahaja.

Malah, tambahnya, PAS juga pernah tidak memiliki sebarang kerusi di Pulau Pinang dan Terengganu, sementara hanya tinggal dua kerusi di Kelantan sebagai pembangkang.

“PAS boleh hidup, tak mati. Ini dia PAS. PAS tak takut. Kalau orang tak mahu apa yang kita nak, kita jadi ‘kingmaker’.

"Tak mengapa kita jadi pembangkang. Ini ketegasan kita bersama dengan Islam," tegas beliau.

Menurut beliau, PAS tidak akan bersama dengan Barisan Nasional kerana PAS telah mempunyai pengalaman ditindas dan disekat oleh parti pemerintah itu.

Tambahan pula, katanya sepanjang BN menerajui kerajaan banyak masalah yang dihadapi rakyat.

Antara yang paling ketara, ujarnya adalah kenaikan kos sara hidup, harga barangan naik mendadak, masalah pengangguran dan isu lambakan pekerja asing.

Jelas beliau, hal ini adalah kerana kesilapan kerajaan yang tidak berintegriti.

Kata beliau, Umno-BN menerajui kerajaan tanpa memikir soal dosa dan pahala dalam politik. – HARAKAHDAILY 16/4/2018