PAS juga bela nasib kaum Cina, India

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: PAS tidak mengenepikan tanggungjawab dalam memberi kesamarataan terhadap semua kaum semasa pemerintahan di Terengganu pada 1999.

“Kita pernah beri geran kepada orang Cina, India, estet pun ada kita beri kepada mereka,” kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Majlis Perasmian Titi Kuala Juru di pekarangan Kuala Juru, Pulau Pinang, hari ini yang disiarkan menerusi laman sosial Facebook.

Beliau menceritakan ada beberapa Kampung Cina dikurung kerana darurat yang berlaku pada zaman pemerintahan Inggeris.

Tambahnya, mereka membesar di situ dan hanya diberi TOL (Lesen Menduduki Sementara) sementara sepanjang masa oleh kerajaan yang memerintah pada masa itu.

Justeru, jelasnya PAS menggalas tanggungjawab dengan memberi geran untuk membela nasib kaum Cina di situ pada zaman pemerintahannya sebagai Menteri Besar di Terengganu.

“Semasa memerintah, semua rakyat adalah rakyat kita. Kita tidak bermain-main dengan mereka bila kita memerintah,” ujar beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau berhara agar rakyat memberikan kepercayaan kepada PAS untuk memerintah kali ini.

PAS juga dalam masa yang sama memberi komitmen tidak mengenepikan dalam membela nasib kaum Melayu, Cina dan India di negara ini. – HARAKAHDAILY 16/4/2018