Dakwaan Husam: Jabatan Hutan akan lapor polis

Berita
Typography

KOTA BHARU: Jabatan Perhutanan Kelantan akan membuat laporan polis terhadap Husam Musa yang mendakwa kerajaan negeri meluluskan kawasan baru pembalakan di negeri ini.

Pengarahnya, Dato’ Zahari Ibrahim berkata tuduhan yang dibuat oleh Naib Presiden PAN itu tidak benar sama sekali bahkan memandang serius dakwaan tersebut.

"Dakwaaan kononnya ada kelulusan baru kawasan pembalakan dalam mesyuarat adalah tidak benar, justeru kita memandang berat dakwaan palsu ini.

"Kita akan membuat laporan polis dalam masa terdekat mengenai berita palsu ini dibawah Akta Anti Berita Tidak Benar 2018," katanya dalam satu kenyataan, di sini. (Foto di atas hanya hiasan.)

Jelas beliau, kerajaan negeri tidak membuat sebarang kelulusan kawasan pembalakan, bahkan hanya perkara biasa dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Perhutanan.

Tambahnya, ia seperti mengesahkan minit mesyuarat lalu, mengesahkan serta melaksanakan keputusan dari mesyuarat lepas, menimbang permohonan industri pemprosesan kayu dan membincang isu berkaitan.

"Saya menegaskan kerajaan negeri masih mengekalkan rekod tidak pernah memberi kelulusan baru kawasan pembalakan terutamanya penubuhan ladang hutan dalam hutan simpan kekal dari 2013 lagi," katanya.

Husam sebelum ini menghantar nota dan surat bantahan kepada Menteri Besar, Ustaz Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Beliau mendakwa kerajaan negeri sementara memberi kelulusan pembalakan itu pada Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Perhutanan yang diadakan di Kota Darulnaim, pagi tadi. – HARAKAHDAILY 16/4/2018