PRU14: Lagi kejutan menanti rakyat

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: PAS akan membuat lebih banyak kejutan kepada rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini selepas menyaksikan pertambahan bilangan kerusi yang ditandingi bermula 80 kerusi dan kini mencecah 160 kerusi parlimen.

“PAS bertanding sebanyak 80 kerusi, kemudian naik kepada 130 kerusi dan kini bertambah jumlahnya sehingga 160 kerusi," kata Pengarah Institut Strategi PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam program FB live Sinar Harian siang tadi.

Beliau juga menyatakan akan ada kejutan PAS buat rakyat khasnya semasa mengisytiharkan calon-calonnya tidak lama lagi.

Mengulas lanjut beliau menyatakan, PAS mensasarkan minimum 40 kerusi parlimen untuk membolehkan parti itu sebagai ‘kingmaker’.

"Kalau ada 40 buah kerusi parlimen, tiada parti boleh tubuh kerajaan melainkan mesti berbincang secara bersama.

"Sasaran maksimumnya membolehkan PAS mentadbir secara bersendirian atau tadbir bersama dengan parti-parti lain," tambahnya.

Oleh kerana itu, kata beliau, PAS menyatakan bahawa yang paling potensi adalah PAS kerana PPBM akan mengambil 10 peratus undi Melayu keluar bersama mereka yang keluar Umno dan menyokong mereka.

"Tetapi PAS kekal dengan pengundi dia, ditambah pula dengan pengundi di atas agar dan pengundi Umno,” ujar beliau.

Beliau juga ada memetik kata-kata seorang pimpinan Umno ketika berforum lebih kurang sebulan lalu.

“Hari ini rakyat Islam bukan lagi Islam. Mana-mana kelompok, gerakan,parti yang tidak boleh menawarkan Islam pada PRU14 maka dia akan kecundang," kata Dr Khairudin memetik kenyataan seorang pemimpin Umno sebelum ini.

Justeru itu beliau menegaskan, PAS akan menang dan sekali gus menggalas tanggungjawab untuk mengubah negara ke arah yang lebih baik. – HARAKAHDAILY 16/4/2018