YB Menteri! Saya ada 5 Soalan – Generasi

Berita
Typography

PERTUBUHAN Generasi  Warisan Kebangsaan (Generasi) meminta Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad memberi penjelasan ke atas lima perkara yang dibangkitkan berkenaan permasalahan yang berlaku di dalam Felda.

Presidenya Roslan Md Esa meminta Felda menjelaskan perancangan agensi itu untuk membangunkan penempatan Felda sebagai pusat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang terancang.

Ini kerana katanya pembangunan IKS akan memberi manfaat yang besar kepada generasi Felda dan masyarakat bumiputera amnya.

"Felda mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti Gugusan Felda Jengka, Gugusan Felda Palong, dan banyak lain gabungan beberapa buah Felda dalam satu zon boleh membantu membangunkan IKS di kawasan mereka," katanya.

Berkaitan isu Akta GSA, Roslan mempersoalkan usaha kerajaan sama ada bercadang mahu mengkaji, memperhalusi, mengubah serta meminda endorsemen hakmilik sedemikian agar peneroka yang dapat hakmilik mempunyai kuasa penuh ke atas tanah milik mereka.

"Bagi peneroka yang telah diberi geran, antara isu undang-undang yang menyebabkan peneroka kekal di bawah arahan Felda ialah terdapatnya endorsemen hakmilik 'Tanah ini tertakluk kepada Akta GSA'.

"Sejauhmana penjelasan berkaitan Akta GSA1960, kaitannya dengan Pewarisan Tanah Felda dibuat kepada peneroka dan generasi anak peneroka memandangkan terlalu banyak isu salah laku waris selepas kematian peneroka," soalnya kepada Harakahdaily.

Roslan juga meminta Pengerusi Felda menyelesaikan permasalahan isu pusaka peneroka Felda yang dilihat sangat membimbangkan sejak akhir-akhir ini.

"Apakah peranan dan tindakan yang diambil oleh pihak pengurusan Felda berkaitan dengan isu pentadbir yang tidak amanah dan membolot semua hasil Felda tanpa diagihkan kepada waris-waris lain yang berhak," katanya. – HARAKAHDAILY 8/3/2017