Calon PAS P.118 ikon pendidikan anak muda

Berita
Typography

SETIAWANGSA: PAS merupakan parti politik yang berjaya menawarkan pendidikan formal dari pra-sekolah hingga ke pengajian tinggi, demikian menurut calon PAS P.118, Ustaz Ubaid Abd Akla.

"Dalam parlimen ini terdapat lima PASTI dan dua SRITI iaitu SRITI Taman Seri Rampai dan SRITI Abu Bakar Chik," ujarnya yang juga merupakan Pengerusi bagi PASTI dan SRITI Setiawangsa.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada penutup Sukan SRITI Wilayah Persekutuan di padang stadium Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 5, Wangsa Maju, di sini semalam.

Jelasnya, institusi pendidikan di bawah PAS juga tidak mengabaikan sukan di mana penekanan aspek itu melengkapkan pembangunan rohani dan akal menuju kesempurnaan keterampilan serta kematangan insan.

Bahkan menurutnya, Manifesto Malaysia Sejahtera turut menawarkan pendidikan berkebajikan dengan melupuskan hutang PTPTN dan menuju ke arah pendidikan percuma berkualiti.

Perkara itu hurainya, akan dilaksanakan oleh kerjasama kerajaan, swasta dan orang ramai melalui dana wakaf sebagaimana dilaksanakan Universiti Al-Azhar, Mesir.

Hadir sama memeriahkan sukan tahunan itu adalah Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Muhammad Farkhan Mohd Zin serta pimpinan PAS lainnya. -HARAKAH DAILY 7/5/2018