Tok Guru pernah tolak nama Husam

Berita
Typography

KOTA BHARU: Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah menolak nama Husam Musa untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar (TMB) menggantikan Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman.

Bekas Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh berkata, selepas selesai Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 beliau menanyakan kepada Tok Guru siapa bakal dilantik TMB.

Katanya, pada peringkat awal beliau menamakan Husam Musa sebagai pilihan utama bersama Dato’ Mohd Amar Abdullah.

“Saya menamakan Husam kerana beliau seorang wakil rakyat yang popular di Parlimen sebelum dipindahkan bertanding di kerusi Dun.

“Saya sebut kepada Tok Guru kita boleh manfaatkan kebolehan Husam selepas dipindahkan bertanding di kerusi Dun pada PRU tersebut.

“Bagaimanapun Tok Guru tidak mahu dan hendak penggantikan Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman juga seorang Ulama. Dan pilihan yang ada ketika itu Ustaz Ahmad Yakob,” katanya pada Sidang Media di Pejabat Perhubungan PAS Kelantan hari ini.

Wan Ismail juga berkata, beliau turut menamakan Dato’ Mohd Amar Abdullah sebagai nama kedua bagi mengisi kerusi TMB.

Katanya Tok Guru hanya mahu menyenaraikan mereka sebagai anggota Exco kerajaan negeri memandangkan kedua-duanya masih lagi muda.

“Tok Guru mahu Timbalannya seorang agamawan. Ustaz Ahmad adalah antara lulusan agama yang senior dalam kepimpinan PAS Kelantan ketika itu.

“Lagi pun ayahnya Tok Guru Haji Yakob merupakan seorang Ulama terkenal mempunyai pondok di Berangan, Tumpat,” katanya.

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi pula berkata, selepas ketiadaan Tok Guru, kepimpinan kerajaan negeri yang diketuai Ustaz Ahmad lebih berpadu dan berjaya melaksanakan tugas terbaik.

Katanya, sebanyak 12 agensi kerajaan di Kelantan daripada 45 agensi dari seluruh negara mencapai taraf lima bintang dalam aspek kecemerlangan pengurusan.

Beliau berkata, lebih membanggakan lagi pada penggal ke-13 tidak ada kawasan hutan yang diluluskan bagi aktiviti pembalakan dan penanaman getah klon balak.

“Hanya 42 ekar tanah yang diluluskan kerajaan negeri bagi membina mini hidro. Ini merupakan satu pencapaian yang terbaik,” katanya.

Hadir sama pada Sidang Media itu Speaker Dun Kelantan, Dato’ Abdullah Ya’kub. - HARAKAHDAILY 7/5/2018