Apa akan berlaku jika Parlimen 'tergantung'?

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Calon PAS bagi Parlimen Shah Alam, Dr Mohd Zuhdi Marzuki menerangkan maksud 'Hung Parliament' (Parlimen tergantung) iaitu tiada mana-mana blok parti politik mampu untuk membentuk kerajaan secara majoriti mudah.

Katanya, majoriti mudah yang perlu dicapai oleh mana-mana parti politik dalam membentuk kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya 112 kerusi.

Menurutnya, tiga kemungkinan yang mungkin berlaku sekiranya Parlimen tergantung terjadi pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau berkata demikian dalam Program Bicara Malaysia Sejahtera yang bersiaran secara langsung di Facebook yang membawakan tajuk “Terkini! Isu Semasa”.

Jelasnya, kemungkinan yang pertama iaitu pembentukan kerajaan minoriti daripada parti yang memiliki kerusi yang terbanyak di antara parti-parti politik yang ada.

Menurut beliau, kerajaan minoriti merupakan mimpi ngeri kepada parti politik namun ia akan menguntungkan rakyat apabila kerajaan tersebut akan terpaksa berunding dan meyakinkan parti pembangkang dalam proses meluluskan sesuatu akta

Kemungkinan berlaku gabungan parti politik

Jelasnya, pilihan kedua adalah berlakunya kerajaan campuran iaitu gabungan di antara parti-parti politik bagi mencukupkan majoriti mudah.

Katanya, kemungkinan paling besar yang mungkin berlaku adalah kembalinya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipimpin oleh Dr Mahathir kepada Barisan Nasional secara bersyarat iaitu Dato’ Seri Najib Razak digugurkan daripada menjadi Perdana Menteri.

Tambahnya, kemungkinan kedua iaitu DAP bergabung dengan Barisan Nasional untuk membentuk kerajaan campuran sekiranya MCA kalah teruk dalam PRU14.

Kata beliau, signal berkaitan hal ini sudah diberikan apabila ramai golongan peniaga Cina yang hilang kepentingan dari segi peluang-peluang perniagaan disebabkan Menteri Kabinet daripada golongan Cina tidak begitu ramai.

Beliau menerangkan bahawa kemungkinan ketiga adalah PAS melalui Gagasan Sejahtera bergabung dengan mana-mana parti politik yang ingin mendaulatkan Islam melalui perletakan Islam sebagai asas bernegara, berekonomi dan bermasyarakat.

Katanya, PAS akan membuat keputusan untuk bergabung secara kolektif bersama akar umbi bagi menentukan masa depan politik PAS.

Penubuhan kerajaan perpaduan

Dr Zuhdi menjelaskan bahawa pada ketika suasana politik yang tidak ada penyelesaian, maka kaedah terbaik bagi menangani masalah tersebut adalah melalui pembentukan kerajaan tanpa pembangkang atau Unity Government.

Mengakhiri ucapan, beliau mengulang kembali kemungkinan yang bakal berlaku dengan penekanan pada kemungkinan Parti Bersatu yang berkemungkinan kembali kepada Umno ataupun DAP yang akan menggantikan peranan MCA dengan bergabung dengan Barisan Nasional

Untuk rekod, Malaysia belum pernah mengalami pembentukan sebuah kerajaan selepas pilihan raya melalui kerajaan minoriti dan kerajaan gabungan tanpa pembangkang. – HARAKAHDAILY 7/5/2018