PAS Pontian janji pembangunan insan

Berita
Typography

KUALA  LUMPUR: Calon PAS Parlimen Pontian, Dr Baharom Mohammad berkata PAS sentiasa mengamalkan budaya politik matang.

“Kita jangan sekali-kali meninggal agama dalam cara hidup kita, itu adalah siasah politik PAS,” ujarnya.

Katanya, nilai-nilai murni dalam Islam perlu diambil dan diterjemahkan bukan sahaja dalam kehidupan seharian tetapi dalam pelaksanaan pentadbiran negara.

Justeru itu, PAS memperkenalkan Dokumen Hijau dan Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051 (WINS 2051).

“Dokumen Hijau ini adalah sebahagian kecil daripada contoh dasar-dasar dan prinsip-prinsip penting berkaitan pengurusan ekonomi Islam bagi menjamin keadilan, pembangunan, kesaksamaan serta pengukuhan ekonomi negara dan rakyat berasaskan Islam,” ujarnya.

Tambahnya, manakala, WINS 2051 pula merupakan satu model baru yang dicetuskan oleh PAS sebagai panduan asas untuk mentadbir sebuah negara berdasarkan prinsip-prinsip Islam dalam realiti moden.

“Siasah politik PAS berteraskan menyelesaikan masalah melalui panduan yang agama telah tetapkan,” jelasnya dalam satu program santai yang disiarkan menerusi laman Facebook.

Di peringkat Negeri Johor, katanya PAS menawarkan 20 manifesto antaranya memperkasakan sekolah agama dan tabung awam anak Johor, sementara antara manifesto Pontian ialah membina Akademi Huffaz dan pewujudan dataran ilmu.

“Pembangunan insaniah dan modal insan amat dititik berat bagi melahirkan generasi yang terbilang.

“Islam itu hebat, moga cita-cita untuk menjadikan Malaysia yang hebat pada 2051 akan dapat direalisasikan,” katanya lagi.

Beliau juga menyeru para pengundi di daerah Pontian memilih PAS pada PRU14.

“Semoga amalan kita menjadi ibadah dan dinilai baik oleh Allah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/5/2018