Mahathir sebagai ‘Melayu mudah lupa’

Berita
Typography

KEPALA BATAS: Tun Dr Mahathir Mohamad, kini dilihat sanggup menghina kematian 14 mangsa korban tragedi berdarah Memali pada tahun 1985, jelas terlupa bahawa beliau membangunkan negara ini dengan "Tangannya yang berlumuran darah" selama 22 tahun memegang tampuk pemerintahan negara ini.

Ini kerana peristiwa 33 tahun lalu masih menjadi tanda tanya dalam kalangan anggota keluarga mangsa Memali atas alasan apa kerajaan mengarahkan 3,600 anggota polis bersama kelengkapan senjata mengepung rumah Ustaz Ibrahim Libya.

Keceluparan Tun yang mendakwa kematian 14 syuhada sebagai "Mati katak" isu yang teramat sensitif kepada keluarga mangsa Memali.

Ustaz Mohd Husni Mad Piah berkata, Tun begitu celupar ketika berucap di pentas berkempen untuk Pakatan Harapan (PH) dilihat langkah terdesak dan budaya kempen yang diamalkan adalah tidak matang dan tidak mesra.

"Saya mengikuti ucapan Tun dan mendengar dengan jelas mengaitkan insiden 33 tahun lampau dan memfitnah mereka yang terkorban sebagai "Mati katak" sangat sensitif bagi kami kalangan anak-anak mangsa dan balu.

"Kerana sehingga ke hari ini kami masih tertanya-tanya atas alasan apa kerajaan Umno-BN yang dipimpin Tun ketika itu boleh mengarahkan 3,600 anggota polis turun ke Memali sehingga menyebabkan tragedi berdarah Memali yang mengorbankan 14 para syuhada," katanya.

Ustaz Husni menyifatkan permohonan maaf yang diucapkan Tun sejurus selepas mendapat pelbagai kritikan itu sebagai permohonan maaf terhadap ucapan kesat "Mati katak" yang dilontarkannya.

"Ia bukan satu permohonan maaf atas kesalahan kerajaan yang mengambil keputusan nekad mengarah untuk melakukan satu operasi tahun 1985 yang dinamakan operasi hapus," tegas Ustaz Husni.

Ujarnya, Tun tetap dengan pendiriannya mempertahankan kematian 4 anggota polis yang terkorban dalam peristiwa tersebut sebagai dibunuh dan diserang oleh penduduk kampung.

Namun, bagi beliau dan penduduk Memali, kematian Ustaz Ibrahim Libya dan penduduk kampung berada di pihak yang benar kerana mangsa-mangsa korban itu sebenarnya telah diserang dan bukan menyerang.

"Mereka tidak membunuh tetapi mereka dibunuh, orang-orang kampung ditangkap, dihumban ke dalam lokap, yang cedera dibawa ke hospital sehingga ada antara mereka yang akhirnya dihumban dan dikenakan tindakan ISA," katanya.

Jelasnya, tuduhan Tun yang mendakwa penduduk kampung yang membunuh empat anggota polis sebagai tidak masuk akal kerana penduduk kampung tidak bersenjata ketika itu.

"Dengan sebab itu kami menuntut ditubuhkan Badan Suruhanjaya Bebas untuk menyiasat kenal pasti punca kematian, minta supaya perkara ini didedahkan.

"Bedah siasat mayat anggota yang terkorban, peluru apakah dan atas sebab apa mereka mati," jelasnya.

Ulasnya, Tun sebagai seorang pemimpin yang berwibawa tidak seharusnya menghina kematian rakyatnya yang sepatutnya bertindak sebagai pemerintah ketika itu seharusnya melindungi rakyat.

Ustaz Husni turut menyifatkan Tun sebagai "Melayu mudah lupa" kerana Tun pernah beberapa kali meminta maaf kepada rakyat Malaysia. Antaranya Tun memohon maaf kerana tersilap memilih Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalannya.

Tun juga membuat permohonan maaf kepada rakyat Malaysia pada tahun 2009 kerana beliau tersilap memilih Tun Abdullah Ahmad Badwi sebagai Perdana Menteri.

Begitu juga permohonan maaf beliau mengangkat Dato' Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri yang akhirnya kesilapan itu meninggalkan kesan 'Trauma' kepada rakyat Malaysia. – HARAKAHDAILY 7/5/2018