PAS Cawangan Kg Laut: Lebih ramai sertai PAS

Berita
Typography

PEMUDA PAS Kelantan menafikan dakwaan dan pengisytiharan oleh Datuk Paduka Husam Musa bahawa PAS Cawangan Kampung Laut, Tumpat sudahpun terbubar melaluinya ceramahnya kelmarin. Ini kerana melihat kepada sambutan oleh penduduk setempat, khasnya anak muda sendiri yang semakin ramai menyertai PAS di Kampung Laut ini.

Bahkan dengan keluarnya Ketua Cawangan PAS di kampung tersebut iaitu Nordin Adam, dan beberapa orang pengikut setianya, ke dalam parti PAN, hanyalah melengkapkan siri proses pembersihan PAS daripada anasir yang terus menikam PAS dari dalam seperti yang berlaku di semua negeri sebelum daripada ini.

Dengan pengumuman oleh Nordin ini juga, PAS Cawangan Kampung Laut tidaklah terbubar secara automatik, kerana hanya beberapa kerat sahaja yang menyertai PAN, dan puluhan lagi ahli sedia ada dalam cawangan ini masih kekal bersama PAS dan kekal mendokong cita-cita murni perjuangan Islam. Ia proses biasa, dan Pemuda PAS yakin, bahawa PAS Pusat akan segera turun bagi melantik jawatankuasa pemangku dan lain-lain tindakan yang perlu bagi memastikan kesinambungan dan kelestarian perjuangan PAS di Kampung Laut ini akan terus kekal dan subur.

Dan paling menggembirakan Pemuda PAS Kelantan adalah, tidak sampai 24 jam daripada pengumuman keluar parti oleh Ketua Cawangan tersebut, Pemuda menerima lebih daripada 200 permohonan baru untuk menjadi ahli PAS di cawangan Kampung Laut dan sekitarnya yang diserahkan oleh wakil anak muda Kampung Laut iaitu Wan Azizul Hakim Wan Rahim serta Che Said Yusuf iaitu Penghulu Mukim Gerong, Peti Undi Bendang Pulau, Kampung Laut.

Bahkan beberapa minggu lepas, lebih 150 borang permohonan baru, juga telah dihantar oleh penduduk setempat ke Pejabat Perhubungan PAS Negeri Kelantan bagi menyertai PAS yang semakin hari semakin utuh dan tegar menegakkan Islam.

Dengan perkembangan positif ini, Pemuda PAS cukup yakin dan percaya, bahawa PAS Cawangan Kampung Laut, yang diumum Husam telah terbubar, hanyalah satu mimpi di siang hari dan juga bersifat angan angan mat jenin semata-mata.

Jangan kata bubar, malahan ahli yang melompat keluar menukar bahtera tersebut pun, terus diganti oleh Allah SWT dengan penyertaan para amilin baru dan muda, yang lebih ramai, yang akan terus menggerakkan PAS di Dun Pasir Pekan ini ke mercu yang lebih tinggi dan kekal mempertahankan kerajaan Islam negeri Kelantan. – HARAKAHDAILY 11/3/2017