Usaha berterusan perkasa syariat Islam

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata Gagasan Sejahtera akan meneruskan usaha usul RUU 355 sehingga berjaya sekiranya membentuk kerajaan selepas PRU14.

“Usaha ini adalah penting bagi memastikan Islam dan kedudukan orang Melayu akan terus terpelihara dan mendapat keutamaan sebagaimana kedudukan istimewanya di bawah Perlembagaan Malaysia,” ujarnya pada sidang media PRU14 di Pejabat Agung PAS, di sini, semalam.

Katanya, Gagasan Sejahtera akan menolak sebarang usaha yang cuba menghalang RUU 355 daripada pihak-pihak anti-Islam yang diketuai oleh DAP.

Beliau berkata, Gagasan Sejahtera juga akan memberi jaminan kepada rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam bahawa RUU 355 tidak ada kena mengena dengan masyarakat bukan Islam, bahkan sejak wujudnya Mahkamah Syariah di Malaysia, tiada seorang pun bukan Islam yang didakwa di mahkamah tersebut.

Jurucakap Gagasan Sejahtera itu meluahkan rasa kesal dengan tindakan beberapa pihak seperti DAP, MCA dengan gerakan khasnya yang cuba menakut-nakutkan golongan bukan Islam berkaitan RUU 355.

Menurutnya lagi, Mahkamah Syariah yang diwujudkan di Malaysia hanya melakukan perbicaraan untuk umat Islam sahaja.

Tambahnya, golongan bukan Islam juga dinasihatkan supaya tidak mudah terikut-ikut dengan parti tertentu untuk menentang RUU 355.

“Gagasan Sejahtera akan membina negara sejahtera dengan sistem yang digariskan oleh Islam di mana ia adalah satu jaminan kedudukan bukan Islam tidak akan dipinggirkan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 8/5/2018